HARGA MINYAK TINGGI SOKONG PENDAPATAN EKSPORT MALAYSIA – CGSI

HomeFeaturedBusiness

HARGA MINYAK TINGGI SOKONG PENDAPATAN EKSPORT MALAYSIA – CGSI

KUALA LUMPUR,. Lonjakan harga minyak terus menyokong eksport produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) Malaysia, sekali gus meningkatkan pendapatan e

KEUNTUNGAN SUKU KEDUA YINSON MELONJAK 26.7 PERATUS KEPADA RM128 JUTA
Ringgit dibuka tinggi pada pagi
Kenyataan tidak masuk akal – Tony Fernandes

KUALA LUMPUR,. Lonjakan harga minyak terus menyokong eksport produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) Malaysia, sekali gus meningkatkan pendapatan eksport, menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGSI).

Dalam satu nota hari ini, CGSI berkata eksport berkaitan minyak dan gas terus menyumbang kepada prestasi eksport negara yang berkembang 40.2 peratus tahun ke tahun pada September, dengan eksport produk petroleum meningkat 32.9 peratus manakala eksport LNG naik 45.7 peratus.

Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek eksport susulan prestasi kukuh dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026.

“Kami menjangkakan prestasi perdagangan luar Malaysia kekal berdaya tahan sepanjang baki 2026, terutamanya disokong oleh kitaran peningkatan industri semikonduktor yang dipacu kecerdasan buatan (AI) dan permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik,” katanya.

CGSI berkata pertumbuhan eksport kekal meluas merentasi pasaran utama, mencerminkan permintaan luar yang berdaya tahan.

Pertumbuhan eksport Malaysia, katanya meningkat lebih pantas kepada 54.5 peratus pada September, disokong oleh permintaan kukuh terhadap eksport barangan perkilangan yang berkembang 58.6 peratus, dipacu pertumbuhan ketara sebanyak 69.2 peratus dalam eksport produk elektrik dan elektronik (E&E).

“Prestasi eksport turut dipacu oleh penghantaran pada paras rekod ke pasaran utama, dengan eksport ke Amerika Syarikat melonjak 89.9 peratus kepada paras tertinggi baharu RM38.0 bilion, manakala eksport ke China meningkat 22.1 peratus,” katanya.

Menurut firma itu, pertumbuhan import juga kekal kukuh, dengan import barangan pengantara meningkat 69.6 peratus. Lebihan dagangan terkumpul Malaysia pula turut melebar kepada RM232.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 berbanding RM107.7 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, CGSI memberi amaran bahawa prospek perdagangan masih terdedah kepada kelembapan pelaburan global dalam bidang AI, permintaan semikonduktor yang lebih lemah serta ketidaktentuan yang meningkat berkaitan dasar perdagangan atau geopolitik.

Mengenai harga domestik, firma itu berkata inflasi pengangkutan meningkat kepada 2.5 peratus pada September daripada 2.0 peratus pada Ogos, mencerminkan kenaikan semula harga minyak mentah global yang ketara, dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada US$116.80 setong daripada US$90.90 setong.

“Bagaimanapun, harga minyak global yang kekal tinggi boleh menyebabkan inflasi berkaitan pengangkutan terus meningkat dan menimbulkan risiko kenaikan inflasi sekiranya kos tenaga kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

Menurutnya, sokongan dasar kerajaan yang berterusan, termasuk perlindungan bil elektrik, subsidi bahan api RON95 dan BUDI Diesel, kawalan harga bagi barangan makanan terpilih serta inisiatif Jualan Rahmah, membantu mengurangkan kesan tekanan kos luaran terhadap pengguna dan perniagaan.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan bagi 2026 pada 1.9 peratus, dengan menjangkakan inflasi kekal terkawal pada suku keempat, disokong mekanisme subsidi sedia ada, langkah bersasar bagi menangani kos sara hidup serta ringgit yang stabil.

— BERNAMA