KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pelancaran program pembiayaan baharu di bawah inisiatif Kementerian Pembangu
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pelancaran program pembiayaan baharu di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), BR Prosper-i dan SME Bank SUCCESS.
Presidennya Jacob Lee Chor Kok berkata inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM100 juta itu bertujuan untuk memperkukuh akses kepada pembiayaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terutama bagi komuniti perniagaan Cina.
“Inisiatif oleh KUSKOP ini adalah tepat pada masanya dan baik khususnya memandangkan ketidaktentuan semasa dalam perdagangan global, dengan akses kepada pembiayaan dan aliran tunai terus menjadi cabaran penting bagi PMKS.
“Kami berharap kemudahan ini juga boleh diperluaskan kepada perniagaan merentasi seluruh komuniti, selaras dengan objektif yang lebih luas untuk menyokong pembangunan dan keterangkuman PMKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 29 Januari, KUSKOP melancarkan inisiatif pembiayaan bernilai RM100 juta bagi memperkukuh akses pembiayaan kepada PMKS Cina yang akan dilaksanakan melalui agensinya Bank Rakyat dan SME Bank.
Lee berkata FMM berharap lebih banyak program sedemikian dapat dilancarkan pada masa hadapan dan diinstitusikan atau dilaksanakan secara berterusan melalui peruntukan tahunan yang konsisten di bawah belanjawan negara bagi memastikan sokongan yang berterusan dan meluas untuk pembangunan PMKS.
“FMM menyokong inisiatif pembiayaan yang membolehkan pengeluar meningkatkan skala, mempertingkat rantaian nilai dan kekal berdaya saing di peringkat global, selaras dengan visi FMM sejak sekian lama untuk menggerakkan industri Malaysia daripada persaingan berasaskan kos kepada persaingan berteraskan keupayaan.
“Inisiatif sedemikian, apabila dilengkapkan dengan strategi perindustrian negara yang lebih luas akan memberi sumbangan penting kepada pengukuhan kemampanan dan daya tahan ekosistem PKS Malaysia,” kata Lee.
— BERNAMA


COMMENTS