ISTANBUL,. Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata pada Rabu Amerika Syarikat (AS) tidak boleh mengharapkan dialog dengan Iran sementara pada masa sam
ISTANBUL,. Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata pada Rabu Amerika Syarikat (AS) tidak boleh mengharapkan dialog dengan Iran sementara pada masa sama ia mengeluarkan ancaman, lapor Anadolu Ajansi.
Washington “mesti mengiktiraf hak negara kami dan menghentikan pembulian serta pencerobohan mereka, barulah kita boleh duduk bersama dan berbincang,” kata Pezeshkian dalam kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi IRNA.
“Anda tidak boleh menyekat semua laluan dan mengancam, tetapi pada masa yang sama mahu berbincang,” katanya.
Sambil mendakwa AS “mungkir” janji terhadap komitmennya, Presiden Iran itu berkata: “Saya percaya seseorang tidak sepatutnya memeterai perjanjian secara sewenang-wenangnya, namun apabila sesuatu perjanjian telah dibuat, seseorang itu mesti kekal komited kepadanya sehingga ke akhir – walaupun ia terbukti merugikan.”
Ketegangan di Asia Barat kekal tinggi sejak AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb.
Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau itu serta menyekat laluan Selat Hormuz secara efektif, manakala Washington kemudiannya mengenakan sekatan tentera laut ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran.
AS dan Iran seterusnya menandatangani memorandum persefahaman pada Jun berhubung kebebasan navigasi di selat berkenaan, namun pelaksanaannya terhenti ekoran perselisihan faham berkaitan keselamatan di laluan air yang strategik itu.
— BERNAMA-ANADOLU

