SEREMBAN,. Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dan Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin memohon untuk menjadi pencelah dalam saman pemu
SEREMBAN,. Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dan Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin memohon untuk menjadi pencelah dalam saman pemula difailkan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berhubung tafsiran Undang-Undang Tubuh Negeri.
Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain, yang menetapkan 2 Nov ini untuk mendengar permohonan itu, mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 30 Okt, dan memaklumkan bahawa prosiding akan dijalankan melalui aplikasi Zoom pada 11 pagi.
Mahkamah turut menetapkan 16 Nov ini untuk mendengar bantahan awal Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan selaku responden dalam kes itu, yang mencabar tatacara pemfailan saman pemula berkenaan atas alasan perkara tersebut sepatutnya dibawa melalui prosiding semakan kehakiman.
Notis bantahan awal perlu difailkan selewat-lewatnya 23 Okt ini manakala hujahan bertulis perlu diserahkan pada 10 Nov dan jawapan balas pula selewat-lewatnya pada 13 Nov.
Pada prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan bahawa kesemua pemohon telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Okt lepas untuk merujuk persoalan berkaitan tafsiran peruntukan di bawah Perkara 34(2) dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Mahkamah Persekutuan telah menetapkan sesi pengurusan kes melalui e-semakan pada 23 Okt ini.
Roz Mawar berkata permohonan untuk mencelah perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum mahkamah dapat menentukan langkah seterusnya dalam prosiding itu.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili pemohon, kemudian memaklumkan mahkamah bahawa beliau perlu mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada mereka akan membantah permohonan itu.
Mahkamah turut mengarahkan pemohon memfailkan sebarang afidavit jawapan selewat-lewatnya pada 26 Okt ini sekiranya mereka memutuskan untuk membantah permohonan itu.
Sementara itu, peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, berkata anak guamnya tidak mempunyai bantahan sekiranya mahkamah mendengar permohonan untuk mencelah terlebih dahulu bagi memastikan prosiding berjalan dengan teratur.
Menerusi saman pemula itu, plaintif turut menuntut ganti rugi.
Pada 20 Sept lepas, istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Pembatalan pelantikan mereka diwartakan pada 24 Sept lepas dengan pemecatan itu berkuat kuasa mulai 20 Sept.
Menurut warta berkenaan, pelantikan mereka dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila mereka bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
— BERNAMA

