OCBC PERKENAL PILIHAN RINGGIT DALAM AKAUN SIMPANAN DI SINGAPURA MULAI 23 OKTOBER

HomeFeaturedBerita Semasa

OCBC PERKENAL PILIHAN RINGGIT DALAM AKAUN SIMPANAN DI SINGAPURA MULAI 23 OKTOBER

SINGAPURA,. Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd (OCBC) hari ini mengumumkan pihaknya akan menawarkan kemudahan menyimpan Ringgit Malaysia (MYR) da

Konflik Asia Barat: Trump ugut bom Oman jika halang rundingan AS dengan Iran
Suhaimi Sulaiman sahkan pengunduran sebagai KP Jabatan Penyiaran hujung bulan ini
Op Samseng Jalanan: Polis tahan remaja tunggang motosikal tanpa lesen

SINGAPURA,. Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd (OCBC) hari ini mengumumkan pihaknya akan menawarkan kemudahan menyimpan Ringgit Malaysia (MYR) dalam akaun simpanan berbilang mata wangnya mulai 23 Okt, 2026.

Langkah itu sekali gus menjadikannya bank bukan Malaysia pertama yang membolehkan pelanggan menyimpan mata wang itu dalam akaun simpanan peribadi di Singapura.

Dalam satu kenyataan, bank itu memaklumkan pelanggan boleh menukar dolar Singapura kepada MYR pada kadar pertukaran yang kompetitif tanpa caj tersembunyi atau margin tambahan yang tinggi menerusi OCBC Global Savings Account dan Premier Global Savings Account mereka.

Pelanggan boleh menyimpan sehingga RM50,000 dan seterusnya memperoleh faedah daripada baki ringgit dalam akaun mereka.

“Memandangkan MYR merupakan mata wang yang dikawal selia dengan ketat dan tidak diantarabangsakan, peluang untuk individu menyimpan mata wang itu dalam akaun bank di luar Malaysia adalah terhad.

“Penawaran MYR ini terus memperkukuh akaun simpanan berbilang mata wang OCBC, yang membolehkan pelanggan menyimpan dan mengurus 11 mata wang dalam satu akaun,” menurutnya pada Rabu.

OCBC memaklumkan Malaysia merupakan destinasi perbelanjaan luar negara paling popular dalam kalangan pelanggannya, dengan satu daripada setiap tiga transaksi di luar negara dilakukan di Malaysia. Makan di luar dan membeli-belah merupakan dua kategori perbelanjaan terbesar.

Selain itu, Projek Sistem Transit Rapid Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang bakal beroperasi dijangka terus merancakkan perjalanan rentas sempadan dan perbelanjaan pengguna merentasi Tambak Johor, tambahnya.

Ketua Pengurusan Kekayaan Kumpulan OCBC Tan Siew Lee berkata penawaran ringgit dalam OCBC Global Savings Account akan memberi manfaat besar khususnya kepada rakyat Singapura yang kerap melakukan perjalanan rentas sempadan ke Malaysia.

“Ia membolehkan mereka menetapkan kadar pertukaran yang menguntungkan lebih awal, menyimpan ringgit dalam akaun deposit terkawal di Singapura, memperoleh faedah daripada baki tunai, melindungi nilai simpanan daripada turun naik nilai mata wang pada masa depan dan menikmati kepastian yang lebih tinggi berhubung perbelanjaan perjalanan mereka.

“Ini bermakna mereka tidak perlu lagi memilih antara mendapatkan kadar pertukaran yang baik atau mengembangkan simpanan mereka. Sebaliknya, mereka kini boleh melakukan kedua-duanya sekali,” katanya.

— BERNAMA