Kemenangan El-Sayed cetus peluang baharu politik dunia multipolar – IAIS

HomeFeaturedBerita Semasa

Kemenangan El-Sayed cetus peluang baharu politik dunia multipolar – IAIS

KUALA LUMPUR,. Kemenangan Abdul El-Sayed dalam pemilihan Senat Amerika Syarikat (AS) di Michigan bukan sekadar kejayaan seorang calon Muslim, sebalikn

Indonesia mula pembinaan kapal selam Scorpene secara domestik pertama
Pelaburan langsung asing Malaysia melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025
Malaysia akan terus berada pada landasan pertumbuhan positif

KUALA LUMPUR,. Kemenangan Abdul El-Sayed dalam pemilihan Senat Amerika Syarikat (AS) di Michigan bukan sekadar kejayaan seorang calon Muslim, sebaliknya mencerminkan perubahan landskap politik yang membuka ruang kepada kepimpinan lebih inklusif dalam dunia multipolar, kata Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata kejayaan El-Sayed menewaskan calon Republikan Mike Rogers, berdasarkan unjuran keputusan yang dilaporkan pada 4 Nov lepas, membuktikan bahawa calon daripada kelompok minoriti mampu membina kepercayaan dalam masyarakat majmuk meskipun berdepan sentimen politik berasaskan agama.

“Jika kita meraikannya semata-mata sebagai ‘kemenangan orang Islam’, kita mungkin terlepas sebuah pelajaran politik yang lebih besar,” katanya dalam satu analisis bertajuk “El-Sayed dan Politik Masa Depan Dunia Multipolar”.

Maszlee berkata El-Sayed membawa agenda kesihatan sejagat, pembaharuan pembiayaan pilihan raya serta kritikan terhadap dasar AS terhadap Israel, sekali gus menggabungkan isu kehidupan harian rakyat dengan persoalan moral antarabangsa dalam kempennya.

“Persoalannya bukan sama ada identiti masih penting. Identiti sentiasa penting dalam membentuk pengalaman manusia. Persoalannya di sini ialah bagaimana identiti digunakan: sama ada untuk membina tanggungjawab bersama di dalam sesebuah masyarakat, ataupun untuk menjadikan jiran sendiri sebagai ancaman dengan pelbagai sentimen dan tanggapan,” katanya.

Beliau berkata kemenangan itu juga memberi ruang untuk memahami perubahan politik generasi muda, khususnya apabila keresahan ekonomi semakin berkait dengan tuntutan maruah dan keadilan. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menyifatkannya sebagai gelombang Gen Z tanpa analisis corak pengundian mengikut kumpulan umur yang jelas.

Dalam konteks dunia multipolar, Maszlee berkata perubahan orde antarabangsa bukan hanya ditentukan oleh persaingan antara Washington, Beijing dan kuasa-kuasa besar lain, tetapi turut dipengaruhi perdebatan dalaman, gerakan masyarakat sivil, pilihan raya serta tekanan pengundi.

“Kehadiran senator dengan pendirian berbeza boleh memperluas perbahasan tentang isu Palestin dan penggunaan kuasa ekonomi dan ketenteraan Amerika Syarikat,” katanya, sambil mengingatkan bahawa seorang senator tidak mampu mengubah keseluruhan dasar luar negara itu secara bersendirian.

Mengulas pengajaran kepada Malaysia, beliau menggariskan empat perkara utama, iaitu keperluan menghubungkan nilai politik dengan penyelesaian konkrit, memberi ruang penyertaan sebenar kepada golongan muda, memperjuangkan kebajikan merentas kelompok masyarakat serta menolak budaya politik angkuh dan sombong.

“Mempertahankan kepentingan sesuatu komuniti boleh berjalan seiring dengan pembelaan terhadap hak komuniti lain. Saling kepercayaan berkembang apabila pengundi melihat bahawa keadilan seseorang pemimpin tidak berubah-ubah atau bergantung kepada identiti pihak yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Maszlee berkata Malaysia tidak boleh meniru pengalaman Michigan secara langsung kerana perbezaan sejarah, Perlembagaan dan susunan masyarakat, namun boleh mengambil iktibar bahawa latar belakang seseorang tidak semestinya mengehadkan keluasan kepimpinannya.

“Ukuran sebenar politik masa depan ialah kemampuan untuk membina kehidupan bersama berbilang bangsa dan agama yang lebih baik,” katanya, sambil menegaskan bahawa cabaran seterusnya bagi El-Sayed ialah menterjemahkan kepercayaan yang diberikan kepadanya kepada khidmat, dasar dan keberanian moral.

— BERNAMA