PUTRAJAYA,. Rayuan difailkan Menteri Sumber Manusia berhubung pertikaian antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-Ban
PUTRAJAYA,. Rayuan difailkan Menteri Sumber Manusia berhubung pertikaian antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) bertujuan mendapatkan penentuan Mahkamah Rayuan terhadap isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Tinggi.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerusan rayuan itu tidak bermaksud kementerian menutup ruang kepada penyelesaian secara rundingan antara kedua-dua pihak.
“Menteri Sumber Manusia tidak memohon sebarang penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi manakala Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) telah mengambil langkah proaktif dengan memanggil pihak terlibat bagi meneruskan proses perdamaian.
“Bagaimanapun, MCBA telah menggunakan haknya untuk memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi dan permohonan itu telah dibenarkan oleh mahkamah,” menurut kenyataan tersebut.
KESUMA memaklumkan perintah penangguhan itu menyebabkan rundingan berkaitan perjanjian kolektif tidak dapat diteruskan sepanjang tempoh perintah tersebut berkuat kuasa.
Sehubungan dengan itu, KESUMA memaklumkan penarikan balik rayuan oleh menteri tidak secara automatik membolehkan rundingan antara NUBE dan MCBA diteruskan memandangkan perintah penangguhan yang diperoleh MCBA masih berkuat kuasa.
KESUMA menegaskan komitmen untuk memudah cara penyelesaian pertikaian perusahaan menerusi pendekatan dialog dan rundingan secara harmoni, selaras dengan peruntukan undang-undang serta prinsip keharmonian perusahaan.
Kementerian itu juga menyeru semua pihak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan terus membuka ruang kepada penyelesaian secara baik, tertakluk kepada perintah mahkamah demi memelihara hak serta kepentingan semua pihak.
Media sebelum ini melaporkan pertikaian antara MCBA dan NUBE itu membabitkan pembayaran Bantuan Perayaan serta Perjanjian Kolektif Ke-20.
Pada 13 Feb, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman NUBE, membatalkan dua rujukan yang dibuat Menteri Sumber Manusia ke Mahkamah Perusahaan dan mengarahkan kedua-dua pihak kembali berunding.
Bagaimanapun, pada 26 Sept, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan MCBA untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan persatuan itu di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan didengar pada 22 Mac tahun depan.
oleh
BERNAMA

