KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani bak
KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Titah Seri Paduka Baginda menerusi Istana Negara itu terkandung dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa baginda telah memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.
Perintah itu diperkenankan selepas Seri Paduka Baginda menerima nasihat sewajarnya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 18 Sept lepas.
“Kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong,” titah Seri Paduka Baginda.
Berita lanjut menyusul.
— BERNAMA


