ECRL FASA 1 SIAP LEBIH AWAL, OPERASI PERCUBAAN BERMULA

HomeFeaturedBerita Semasa

ECRL FASA 1 SIAP LEBIH AWAL, OPERASI PERCUBAAN BERMULA

KUALA LUMPUR,. Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat satu lagi pencapaian penting selepas siap Fasa 1 dan penyerahannya meliputi jajaran Kot

Akta A1779 diwartakan, skop kawalan tenaga atom diperluas
Trump bayangkan perang Iran mungkin berakhir sebelum lawatan ke China
Iran tidak lagi perlu import gasolin – Presiden

KUALA LUMPUR,. Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat satu lagi pencapaian penting selepas siap Fasa 1 dan penyerahannya meliputi jajaran Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor kepada pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

MRL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek itu, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), secara rasmi menyerahkan jajaran Kota Bharu-Gombak sepanjang 523 kilometer (km), sekali gus mengesahkan kesiapsiagaan penuh sistem rel berkenaan untuk memulakan operasi komersial dijadualkan pada 12 Dis.

Menurut kenyataan itu, penyerahan berkenaan turut menandakan bermulanya Program Operasi Percubaan ECRL hari ini yang dijadual berlangsung hingga 2 Dis sebagai persiapan akhir sebelum pelancaran perkhidmatan penumpang.

Program dikendalikan ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), sebuah usaha sama 50:50 antara MRL dan CCCECRL, bertujuan menilai kesiapsiagaan operasi, kecekapan perkhidmatan, pengurusan stesen serta pengalaman penumpang dalam keadaan operasi sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata setiap perjalanan sepanjang tempoh percubaan itu akan digunakan untuk menilai pengalaman penumpang dan aspek operasi bagi memastikan perkhidmatan ECRL selamat serta boleh dipercayai sebelum dibuka kepada umum.

“Kami tahu ramai rakyat Malaysia tidak sabar untuk merasai pengalaman menggunakan ECRL. Nilai perkhidmatan rel ini akan dirasai dalam perjalanan harian, sama ada untuk pulang bertemu keluarga, bekerja, melanjutkan pelajaran atau melakukan perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan itu.

Perjalanan percubaan pertama berlepas dari Stesen Terminal Bersepadu Gombak pada 7 pagi tadi dan tiba di Stesen KotaSAS di Kuantan, Pahang pada 8.28 pagi, dengan perjalanan mengambil masa 88 minit, membawa 170 penumpang serta mencapai kelajuan hingga 160 kilometer sejam.

Kereta api itu kemudian berlepas dari KotaSAS pada 9.33 pagi dan tiba di Stesen Kuala Terengganu pada 9.53 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Kota Bharu dan tiba pada 10.58 pagi.

Sepanjang tempoh percubaan, tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) ECRL akan beroperasi mengikut jadual perkhidmatan penumpang komersial yang dirancang, termasuk pengeluaran pas menaiki tren dan perkhidmatan kru kabin, meliputi perkhidmatan ekspres serta transit antara Gombak dan Kota Bharu bagi kedua-dua arah.

Darwis berkata dengan sokongan sistem rel moden dan berteknologi tinggi, operasi komersial ECRL bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan, selain meningkatkan kesalinghubungan di sepanjang rangkaian rel itu.

“Kami menjangkakan ECRL akan merancakkan peluang pelaburan, memacu pertumbuhan pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan hab logistik dan taman perindustrian baharu di negeri-negeri Pantai Timur,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penyerahan Fasa 1 turut merangkumi rangkaian rel bersepadu sepenuhnya yang mempunyai 16 stesen, termasuk stesen khusus penumpang serta terminal gabungan penumpang dan kargo, selain 41 terowong dan 218 jejambat sepanjang 154 km.

Antara pencapaian kejuruteraan utama projek itu ialah Terowong Genting berkembar sepanjang 16.39 km, yang mencatat dua pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai Terowong Kereta Api Terpanjang dan Terowong Kereta Api dengan Lapisan Batuan Penutup Tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan CCCECRL Deng Bo berkata penyerahan sistem rel ECRL Fasa 1 yang beroperasi sepenuhnya menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh kesalinghubungan merentasi Semenanjung Malaysia.

“Ini merupakan rangkaian rel bersepadu sepenuhnya yang menggabungkan operasi tren, stesen, sistem persinyalan, bekalan kuasa dan sistem operasi secara lancar. Penyerahan keseluruhan ekosistem rel ini menyediakan Malaysia dengan infrastruktur rel moden yang bakal mengubah landskap perjalanan dan perdagangan serantau.

“Pasukan kami kini menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan akhir sebelum operasi bagi memastikan keseluruhan sistem memenuhi piawaian ditetapkan sebelum diserahkan kepada MRL,” katanya dalam kenyataan.

MRL memaklumkan CCCECRL kini menumpukan sumber kepada pelaksanaan Fasa 2 selepas penyerahan sistem rel Fasa 1 selesai, melibatkan sambungan rangkaian dari Gombak ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut kenyataan itu, kerja kejuruteraan dan sistem bagi Fasa 2 berjalan mengikut jadual, sekali gus membolehkan penyepaduan penuh rangkaian ECRL sepanjang 665 km.

Apabila siap kelak, ECRL akan berfungsi sebagai jambatan darat berkapasiti tinggi yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan logistik dan membuka peluang ekonomi baharu di seluruh Semenanjung Malaysia.

MRL turut memaklumkan bahawa struktur tambang ECRL berasaskan mekanisme penetapan harga dinamik telah diluluskan Jemaah Menteri bulan lepas, dengan tambang Kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Transit Gombak-Kota Bharu bermula RM125.

Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket dan perkhidmatan penumpang akan diumumkan menerusi saluran rasmi ECRL pada pertengahan November.

— BERNAMA