
Perbelanjaan modal dan operasi Ar Rahnu YaPIEM dikurangkan 50 peratus akibat COVID-19
SHAH ALAM,. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan mengurangkan 50 peratus daripada perbelanjaan modal dan operasi Ar Rahnu YaPEIM pada tahun ini berbanding perancangan asal.
Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hasan berkata menerusi pelan awal ia merancang perbelanjaan modal dan operasi sebanyak RM60 juta namun terpaksa dikurangkan kepada RM30 juta susulan pandemik COVID-19.
“COVID-19 telah menjejaskan sedikit sebanyak pelan kami yang mana perancangan awal terpaksa dikaji semula.
“Kami juga sedang mengenal pasti rakan strategik dan mengumpul dana bagi memastikan perancangan seterusnya dapat berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cabutan Kesetiaan Ar Rahnu YaPIEM 2020, di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Parihah berkata, pihaknya bercadang untuk menambah beberapa lagi kemudahan Ar Rahnu YaPIEM Akses bagi membantu cawangan yang sesak dengan pelanggan.
“Buat masa ini kita mempunyai sembilan bas yang berfungsi sebagai cawangan Ar Rahnu YaPIEM Akses. Kita merancang untuk menambah sekurang-kurangnya lima lagi van untuk menjadi kaunter bergerak supaya urus niaga dapat dijalankan dengan mudah,” katanya.
Mengulas mengenai kempen cabutan bertuah berkenaan, beliau berkata ia mendapat sambutan menggalakkan dengan 31,272 pelanggan layak menyertainya sejak dilancarkan pada 1 Julai lepas dengan jumlah transaksi bernilai RM121.68 juta.
Beliau menjangkakan sehingga tarikh akhir kempen itu pada 31 Disember depan, seramai 200,000 pelanggan akan layak menyertainya bagi merebut 600 bar emas seberat satu gram masing-masing bernilai RM280.
— BERNAMA