KUALA LUMPUR,. Prestasi perdagangan mengekalkan trajektori peningkatan yang kukuh pada Oktober 2026, mencatatkan pencapaian bersejarah, sekali gus men
KUALA LUMPUR,. Prestasi perdagangan mengekalkan trajektori peningkatan yang kukuh pada Oktober 2026, mencatatkan pencapaian bersejarah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai ekonomi yang berdaya tahan dan semakin pelbagai, meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan perdagangan masing-masing mencatatkan nilai bulanan tertinggi.
“Didorong oleh momentum pertumbuhan yang kukuh dalam kedua-dua eksport dan import, jumlah perdagangan berkembang sebanyak 58.0 peratus tahun ke tahun kepada RM436.61 bilion pada Oktober 2026, menjadikannya pertumbuhan bulanan terpantas dalam sejarah negara dan buat kali pertama melepasi paras RM400 bilion.
“Prestasi kumulatif bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 juga telah mengatasi keseluruhan pencapaian tahun 2025 bagi setiap petunjuk utama perdagangan,” menurut MITI.
MITI menjelaskan bahawa prestasi perdagangan bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 mencapai paras tertinggi dalam sejarah, dengan jumlah perdagangan berkembang sebanyak 33.2 peratus kepada RM3.348 trilion, sekali gus melepasi paras RM3 trilion dua bulan lebih awal berbanding 2025.
Menurut MITI lagi, eksport menerajui momentum pertumbuhan ini dengan melonjak sebanyak 37.1 peratus kepada RM1.811 trilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas bagi tempoh tersebut dan mengatasi pertumbuhan import yang naik sebanyak 28.8 peratus kepada RM1.536 trilion.
“Berikutan itu, lebihan dagangan meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas kepada RM274.81 bilion, sekali gus mengatasi nilai tertinggi terdahulu sebanyak RM256.20 bilion yang dicatatkan pada 2022,” menurut MITI.
Menurut kementerian itu lagi, meskipun ketidaktentuan perdagangan global masih berterusan, aktiviti perdagangan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kekal kukuh, peningkatan aktiviti pelaburan serta prestasi eksport yang baik, khususnya bagi barangan berkaitan teknologi.
— BERNAMA

