GUTERRES LUAH KEKECEWAAN TERHADAP HASIL COP31

HomeFeaturedBerita Semasa

GUTERRES LUAH KEKECEWAAN TERHADAP HASIL COP31

NEW YORK,. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad melahirkan kekecewaan terhadap hasil Persidangan Perubah

PRN Johor: KTMB sedia ETS tambahan ke selatan
FOKL 2026 buka akses muzik orkestra kepada orang ramai
Taska disyaki langgar SOP, tidak berdaftar

NEW YORK,. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad melahirkan kekecewaan terhadap hasil Persidangan Perubahan Iklim PBB ke-31 (COP31) di Antalya, Türkiye, lapor Xinhua.

“Saya amat kecewa kerana COP31 berakhir tanpa mencapai kata sepakat mengenai keputusan menyeluruh.

“Saya turut berkongsi kekecewaan mendalam mereka yang mengharapkan kerajaan bertindak sewajarnya dalam menghadapi krisis iklim,” kata Guterres dalam satu kenyataan.

Presiden COP31 Murat Kurum pada Ahad mengumumkan bahawa persidangan itu gagal mencapai kata sepakat mengenai cadangan Pakatan Antalya.

Pengumuman itu dibuat pada sesi pleno penutup selepas draf ketiga dokumen berkenaan diedarkan pada awal hari yang sama, hampir dua hari selepas persidangan dijadual berakhir pada Jumaat.

Guterres berkata kegagalan itu tidak mengubah hakikat mengenai krisis iklim yang sedang dihadapi dunia.

“Walaupun tiada kata sepakat dalam rundingan, bukti saintifik tetap jelas. Suhu terus mencatat rekod baharu, kejadian cuaca ekstrem semakin buruk dan pelepasan gas rumah hijau masih terlalu tinggi.

“Setiap kelewatan hanya menjadikan usaha kita semakin sukar dan menelan kos lebih tinggi,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa dunia kini berada di ambang melepasi had kenaikan suhu global 1.5 darjah Celsius yang dipersetujui di peringkat antarabangsa, manakala peluang untuk memastikan kenaikan melebihi had itu berlaku pada kadar dan tempoh paling minimum semakin mengecil.

“Mesej utama daripada COP31 adalah jelas, dunia mesti melakukan lebih banyak usaha untuk menangani krisis iklim dan tindakan itu perlu dilaksanakan sekarang,” kata beliau.

Guterres berkata usaha berkenaan perlu bermula dengan mengenal pasti faktor yang membawa kepada keadaan semasa, sambil menegaskan bahawa pihak yang meraih keuntungan daripada kemusnahan alam sekitar tidak seharusnya menentukan hala tuju usaha menyelamatkan bumi.

Beliau turut menggesa penghapusan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat kerana ia menjadi antara pemacu utama krisis iklim.

Menurutnya, kebergantungan berterusan kepada arang batu, minyak dan gas memburukkan krisis iklim, mendedahkan ekonomi kepada kejutan harga serta menjejaskan keselamatan tenaga.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkepentingan yang berpengaruh dalam industri bahan api fosil terus menggunakan pendekatan seperti yang pernah diamalkan industri tembakau termasuk memutarbelitkan fakta saintifik, melengahkan pelaksanaan dasar dan menghalang tindakan, sambil meraih keuntungan besar ketika masyarakat dunia menanggung kesannya.

Guterres berkata pada COP28 di Dubai, semua negara bersetuju untuk beralih daripada bahan api fosil secara adil, teratur dan saksama, dan tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha mempercepat peralihan itu serta memastikan pembiayaan dan pelaksanaannya.

Beliau berkata pengurangan pelepasan gas rumah hijau secara besar-besaran dan pantas dalam dekad ini amat diperlukan bagi mengehadkan tahap serta tempoh kenaikan suhu global yang melebihi ambang 1.5 darjah Celsius.

“Negara yang menjadi penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau mesti menerajui usaha ini. Negara maju perlu menunaikan komitmen pembiayaan, manakala setiap negara mesti memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Beliau turut menggesa negara maju memenuhi komitmen untuk menerajui usaha meningkatkan pembiayaan penyesuaian terhadap perubahan iklim sehingga tiga kali ganda, selain memastikan bantuan itu sampai kepada golongan yang paling memerlukan.

“Negara yang paling sedikit menyumbang kepada krisis ini tidak sepatutnya dibiarkan menghadapi kesan paling buruk secara bersendirian. Ini adalah soal keadilan iklim,” katanya.

Guterres berkata ukuran sebenar kejayaan tindakan iklim bergantung kepada perkembangan di luar bilik rundingan, termasuk sejauh mana kebergantungan kepada bahan api fosil dapat dikurangkan, penggunaan tenaga bersih dipertingkat dan rangkaian grid elektrik dibangunkan serta dimodenkan.

Beliau berkata usaha itu turut merangkumi pengurangan ketara pelepasan metana, pemulihan hutan, penyaluran pembiayaan kepada negara membangun dan perlindungan masyarakat daripada kesan cuaca ekstrem.

Guterres turut menyeru masyarakat sivil, golongan muda, masyarakat Orang Asal, saintis dan komuniti barisan hadapan yang terjejas akibat perubahan iklim supaya terus memperjuangkan tindakan menangani krisis berkenaan.

“Krisis iklim tidak akan menunggu kerajaan mencapai kata sepakat. Kita juga tidak boleh menunggu.

“Teruskan menyebarkan fakta, mendesak tindakan dan meningkatkan tekanan. Pastikan kerajaan serta syarikat bertanggungjawab dan jangan sekali-kali berputus asa dalam memperjuangkan keadilan iklim,” katanya.

— BERNAMA-XINHUA