KUALA LUMPUR,. Sebanyak 13 pelajar dari sembilan Kolej Vokasional (KV) seluruh negara menyertai program Global Young Leaders di Perth, Australia bermu
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 13 pelajar dari sembilan Kolej Vokasional (KV) seluruh negara menyertai program Global Young Leaders di Perth, Australia bermula 19 hingga 25 Nov ini, bagi meningkatkan keyakinan diri serta memperluas pendedahan antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, penyertaan itu memberi peluang kepada pelajar untuk membina karakter, meningkatkan daya tahan diri serta meneroka pelbagai peluang sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama dengan delegasi pelajar KV itu, sebelum mereka bertolak ke Perth pada 18 Nov.
Mohd Azam turut menitipkan harapan agar semua peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut, dengan menimba sebanyak mungkin pengalaman sepanjang mengikuti program itu.
Turut hadir mengiringi pelepasan itu ialah wakil-wakil KV serta ibu bapa murid yang terlibat.
Perkembangan semasa akan dikongsikan sepanjang program itu berlangsung.
— BERNAMA

