Aktiviti Bitcoin TNB anggar rugi lebih RM200,000 sebulan

Aktiviti Bitcoin TNB anggar rugi lebih RM200,000 sebulan

SEREMBAN,. Sebanyak lima premis komersial di kawasan perniagaan di Seremban 2, diserbu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kerana disyaki mencuri elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong matawang kripto Bitcoin sehingga menyebabkan TNB kerugian sehingga 250,000 sebulan.

Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS Hanizam Ahmad berkata dalam serbuan yang bermula 8.30 pagi membabitkan 30 kakitangan TNB dan 50 pegawai dan anggota penguat kuasa MBS, turut dirampas ialah 203 mesin Bitcoin bernilai RM8,000 hingga RM12,000 setiap satu.

“Kami mendapati premis tersebut terlibat dalam aktiviti perlombongan Bitcoin sejak kira-kira tiga tahun lalu. Oleh itu, TNB mengalami kerugian antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan bagi setiap premis yang menjalankan aktiviti itu kerana kegiatan mencuri bekalan elektrik,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam operasi berlainan, 12 premis termasuk sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar Seremban dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik selepas didapati menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan TNB.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata operasi pemotongan bekalan elektrik di premis yang dijalankan adalah hasil risikan dan aduan orang awam dan mendapati kegiatan dilakukan secara sembunyi sejak dua hingga tiga bulan lepas.

“Beberapa tindakan telah diambil sebelum ini namun didapati mereka tetap degil dan masih menjalankan aktiviti tersebut. Jadi kami mengenakan tindakan dengan memotong terus bekalan elektrik di 12 premis sekitar Seremban itu mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1966 bagi memastikan aktiviti ini dapat dibanteras dan dilumpuhkan,” katanya di sini.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )