Dr Sahruddin dilantik Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai

Dr Sahruddin dilantik Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai

MUAR,. Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini dilantik sebagai Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, yang dijadualkan 16 Nov ini.

Mengumumkan perkara itu, Pengerusi PH Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap dengan kepimpinan Dr Sahruddin dalam mengetuai jentera PH, kemenangan akan diperolehi.

“Hari ini kita putuskan yang Dr Sahruddin, kita lantik sebagai Pengarah Jentera untuk pilihan raya ini untuk peringkat PH.

“Diharap dengan kepimpinan beliau, (maka) kita akan beroleh kemenangan,” kata Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Johor di Pejabat Bersatu Pagoh di sini, hari ini.

Dr Sahruddin akan dibantu oleh ketua-ketua komponen parti iaitu Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Sementara itu, di peringkat kawasan pula, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini dilantik sebagai Ketua Bilik Gerakan di mana beliau akan berperanan dalam menggerakkan urusan parti di kawasan berkenaan.

Mengenai pelantikan itu, Dr Sahruddin berkata beliau akan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin.

“Amanah telah diberi, sudah tiba waktunya untuk bekerja. Insya-Allah saya menerima tanggungjawab dan amanah yang besar dan tugas diberi sebaik mungkin dengan kerjasama semua sahabat PH.

“Kalau kita boleh bekerja bersama-sama, Insya-allah, kita akan menang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )