
Bursa Malaysia dibuka tinggi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi Khamis ini walaupun pasaran ekuiti global agak lesu manakala prestasi semalaman Wall Street pula bercampur-campur.
Pada pukul 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 1.73 mata kepada 1,597.02 daripada 1,595.29 ketika ditutup petang Rabu.
Ketika dibuka, indeks utama meningkat 4.02 mata lebih tinggi pada 1,599.31.
Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 315 berbalas 221 sementara 325 kaunter tidak berubah, 1,316 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 671.38 juta unit bernilai RM232.03 juta.
Di Wall Street, indeks S&P 500 susut 0.03 peratus, Dow Jones naik 0.29 peratus dan Nasdaq turun 0.58 peratus.
Menurut Public Investment Bank dalam nota penyelidikannya, ia berkata pasaran ekuiti global menyusut pada Rabu selepas mencatatkan kenaikan tertinggi pada sesi sebelumnya.
Ini susulan tindakan para pelabur menjual saham syarikat berkaitan teknologi sementara prospek peningkatan inflasi pula mungkin boleh mengekang pemulihan ekonomi global.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM8.05 dan Top Glove menyusut lima sen kepada RM6.14.
Sementara itu, Public Bank naik satu sen kepada RM4.20, PChem mengukuh dua sen kepada RM7.55 dan Tenaga meningkat lapan sen kepada RM9.94.
Saham paling cergas pula, Alam Maritim, Sapura Energy dan Velesto Energy masing-masing naik satu sen kepada 10.5 sen, 16 sen dan 17.5 sen manakala TA Win menambah tiga sen kepada 25 sen dan Bumi Armada meningkat dua sen kepada 40 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 22.26 mata kepada 11,705.61, Indeks FBMT 100 meningkat 16.53 mata kepada 11,385.94 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 34.21 mata pada 13,152.46.
FBM 70 pula menokok 38.43 mata kepada 15,368.5 sementara FBM ACE turun 14.17 mata kepada 11,252.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 13.84 mata kepada 15,081.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.2 mata kepada 182.78 dan Indeks Perladangan naik 22.56 mata kepada 7,132.26.
– BERNAMA