Miguel Diaz-Canel dilantik ketua Parti Komunis Cuba

Miguel Diaz-Canel dilantik ketua Parti Komunis Cuba

HAVANA: Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel kelmarin dilantik sebagai Setiausaha Pertama baharu Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Cuba (PCC) menggantikan Raul Castro, lapor Xinhua, memetik media tempatan.

Pengumuman itu dibuat semasa penutup sesi Kongres Kelapan PCC ketika negara itu menyambut ulang tahun ke-60 kemenangan menentang pencerobohan Bay of Pigs yang disokong Amerika Syarikat.

Sepanjang kerjaya politiknya, Diaz-Canel pernah berkhidmat antaranya sebagai setiausaha pertama jawatankuasa wilayah parti PCC di wilayah Villa Clara dan Holguin, menteri pendidikan tinggi, naib presiden Majlis Menteri, dan naib presiden pertama Majlis Negara.

Selain beliau, turut dilantik dalam sesi tersebut ialah anggota Biro Politik, Sekretariat, dan Jawatankuasa Pusat PCC yang baharu.

Raul Castro menjadi pemimpin tertinggi PCC pada April 2011 di Kongres ke-6 PCC, mengganti-kan abangnya dan bekas presiden Fidel Castro, yang memegang jawatan itu sejak penubuhan parti berkenaan pada 1965.

— Bernama

CATEGORIES
Share This