
PPIK – KPDNHEP bincang isu tarik kereta
KOTA BHARU,. Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani isu ejen penarik kereta di Kelantan.
Yang Dipertua PPIK Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata perbincangan itu diharap dapat memperkasa peranan ejen penarik kereta, selain mengutamakan integriti, Prosedur Operasi Standard (SOP) kerja dan imej bagi mengharmonikan antara ejen serta masyarakat pengguna.
“Sebelum ini kami telah melakukan kunjungan ke atas KPDNHEP Kelantan untuk mendapat pandangan serta kesimpulan terhadap rungutan masyarakat pengguna berkaitan perkara itu (penarik kereta),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Fared berkata pada pertemuan itu, PPIK akan mengemukakan beberapa cadangan termasuk hari bekerja mengikut masa bank beroperasi supaya tidak berlaku kesukaran kepada pengguna semasa kereta ditarik oleh ejen penarik kereta.
“Kami mengakui terdapat pengguna yang gagal membayar ansuran bulanan kenderaan masing-masing tetapi untuk menarik kenderaan terbabit ia perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan dan bukannya ikut suka hati… lebih tepat lagi ia perlu pada penambahbaikan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku termasuk perlakuan jenayah,” katanya.
— BERNAMA