COVID-19: Thailand lanjut darurat hingga 31 Okt, tetapi pelawat asing dialu-alukan

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK,. Thailand akan melanjutkan perintah darurat sehingga akhir Oktober dengan kerajaan membenarkan kumpulan pelawat asing terpilih – jangka panjang dan pendek – untuk memasuki negara itu bermula bulan depan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini meluluskan lanjutan keenam perintah darurat sehingga 31 Okt.

Perintah darurat itu sepatutnya berakhir 30 Sept ini. Bagaimanapun lanjutan itu tertakluk kepada kelulusan Kabinet esok.

Thaweesilp berkata mesyuarat CCSA hari ini juga bersetuju kumpulan terpilih warga asing dibenarkan memasuki negara itu tetapi harus menjalani kuarantin 14 hari.

Beliau berkata warga asing dibenar memasuki Thailand termasuk pemegang Kad Perjalanan Perniagaan (ABTC) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dari negara berisiko rendah COVID-19 seperti New Zealand, Australia, Singapura, Malaysia, Korea Selatan, Jepun, China dan Hong Kong.

“Pemegang visa khas pelancong (STV) boleh tinggal sehingga sembilan bulan di Thailand dijangka tiba bulan depan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Media tempatan melaporkan 150 warga China, pemegang STV dijangka tiba di Phuket pada 8 Okt diikuti kumpulan lain rakyat China pada 25 Okt.

Selain itu, Thaweesilp berkata warga asing yang berhasrat tinggal di negara itu sehingga 90 hari dibenar memasuki Thailand tetapi perlu menunjukkan penyata pendapatan enam bulan sekurang-kurangnya 500,000 bath (RM66,000).

Imigran yang bukan pemegang visa termasuk ahli perniagaan tanpa permit kerja juga dibenarkan memasuki negara itu, tambah beliau.

Sementara itu, Prayuth berkata ramai orang ingin datang ke Thailand kerana kerajaan dapat mengawal dan menangani pandemik itu dengan baik.

“Kami kena gerakkan ekonomi supaya negara maju. Jika tidak berbuat apa-apa, keadaan akan menjadi lebih teruk,” katanya pada sidang media hari ini.

Prayuth juga mengarahkan pihak berkuasa untuk meningkatkan keselamatan dan kawalan di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar bagi menyekat virus itu memandangkan kes COVID-19 di Myanmar melebihi 10,000 dengan 226 maut.

Sementara itu, Thailand juga melaporkan 22 kes baharu COVID-19 termasuk melibatkan 16 tentera Thailand yang kembali dari Sudan Selatan dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sifar kematian sepanjang 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 3,545 kes dengan 59 kematian.

Kes baharu termasuk empat warga India dari India, seorang warga Thailand berusia 24 tahun yang belajar di Filipina dan seorang pelajar Thailand berusia 13 tahun yang tiba dari Pakistan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )