
Hotel Dan Pusat Hiburan Ibukota Tawar GRO Wanita Warga Asing Diserbu Imigresen
Kuala Lumpur – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu dua buah premis yang menyajikan pelacur dan pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing di kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor dalam satu siri penguatkuasaan Op Gegar baru-baru ini. Seramai 34 orang GRO warga asing telah berjaya ditahan dalam siri Op Gegar ini.
Operasi pertama dijalankan ke atas sebuah premis hotel bajet di Kuchai Lama yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing. Hasil risikan Imigresen mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan kerana harga yang ditawarkan agak tinggi bermula dari RM190 hingga RM240 bagi satu langganan. Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan serta bayaran secara atas talian terlebih dahulu melalui applikasi ‘Wechat’ dan ‘Telegram’.
Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan seramai 17 orang warga asing yang terdiri daripada tujuh orang wanita warganegara Thailand, empat wanita warganegara Indonesia dan tiga orang wanita masing-masing warganegara Myanmar, Laos dan Vietnam yang disyaki melakukan akitiviti pelacuran. Turut ditahan tiga orang lelaki warganegara Myanmar yang merupakan pekerja dan penjaga premis.
Operasi kedua dijalankan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor. Premis ini dikawal oleh ‘Tonto’ sebagai pemberi maklumat kepada pengendali pusat hiburan tersebut bagi menggagalkan sebarang usaha serbuan dari pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, strategi ‘Tonto’ ini berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai imigresen yang menjalankan serbuan.
Semasa serbuan dijalankan, terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi oleh wanita-wanita warga asing ini. Kesemua tindakan mereka gagal berikutan premis telah dikepung dan jalan-jalan keluar telah dikenalpasti lebih awal oleh pegawai serbuan.
Hasil pemeriksaan di premis ini, JIM berjaya menahan 16 orang wanita warganegara Vietnam yang disyaki bekerja sebagai GRO dan seorang lelaki warganegara India yang merupakan pekerja di premis tersebut. Siasatan awal mendapati premis ini menawarkan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.” jelas Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia
Imigresen akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang terutamanya membabitkan warga asing. Tindakan ini penting bagi memastikan usaha kerajaan memulihkan negara dari kesan pandemik Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar.
– Joy Reyzal