Ringgit terus meningkat pada pagi ini

Ringgit terus meningkat pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2018 dalam usaha untuk mengatasi inflasi.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi pada 4.1815/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1965/1995 pada penutup hari Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS memutuskan untuk menaikkan Kadar Dana Persekutuan sebanyak 25 mata asas, menjadikan kadar faedah penanda aras kepada 0.50 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan baru-baru ini, nampaknya kadar faedah akan terus dinaikkan sebanyak suku peratusan mata dalam setiap mesyuarat sepanjang 2022.

“Ini boleh menjadikan Kadar Dana Persekutuan kepada 2.00 peratus menjelang akhir tahun ini. Pasaran sudah pun mengambil kira langkah sedemikian dan oleh itu, pasaran ekuiti memberikan tindak balas secara positif.

“Hakikatnya, langkah monetari yang ketat seumpama itu adalah petunjuk bahawa aktiviti ekonomi semakin kukuh, dengan pasaran buruh menunjukkan daya tarikan yang baik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam menambah, ringgit sepatutnya menunjukkan prestasi baik hari ini, bergerak dalam julat antara paras RM4.18-RM4.19.

“Malah, kadar dasar semalaman (OPR) sekiranya dinaikkan pada satu ketika pada masa hadapan boleh membantu mengukuhkan lagi nilai ringgit,” katanya.

Pasaran mata wang juga lega kerana tanda-tanda kemajuan dalam rundingan damai Ukraine-Rusia telah menaikkan sentimen dalam kalangan pelabur.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0798/0834 daripada 3.0823/0847 pada penutup Rabu dan lebih tinggi berbanding yen Jepun pada 3.5174/5215 daripada 3.5461/5487.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5008/5067 daripada 5.4790/4829 dan rendah berbanding euro kepada 4.6197/6247 daripada 4.6111/6144 semalam.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )