
12 warganegara asing ditahan disyaki terlibat aktiviti pelacuran
GEORGE TOWN,. Polis menahan 11 wanita dan seorang lelaki, kesemuanya warga asing disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran yang berselindung di sebalik perniagaan rumah urut serta salun di Jalan Sungai Dua, Gelugor dekat sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan berkata bertindak atas risikan dan maklumat awam, polis menyerbu premis rumah kedai itu pada 6.35 petang dan menahan kesemua individu itu yang berada di premis berkenaan.
“Kesemua mereka berusia lingkungan 24 hingga 52 tahun. Lelaki warga asing itu disyaki pelanggan aktiviti pelacuran yang menawarkan khidmat seks pada harga RM50 hingga RM150 bagi tempoh satu jam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata aktiviti berkenaan disyaki dijalankan sejak enam bulan lepas dengan operasi sebagai rumah urut di tingkat bawah manakala salun di tingkat atas bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya pelanggan dipercayai datang untuk mendapatkan khidmat urut dan salun sebelum ditawarkan khidmat seks.
Beliau berkata semua individu itu sedang direman untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.
“Dalam serbuan ini polis telah merampas barangan seperti kondom, buku log pelanggan, tuala, wang tunai RM600 dan lain-lain barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pelacuran di premis itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata polis menahan 53 individu disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran hasil serbuan di 13 premis menerusi Ops Noda yang dijalankan sejak 30 Ogos hingga semalam.
Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita tempatan serta enam lelaki dan 37 wanita warga asing.
— BERNAMA