
Penerbangan Firefly JB-KB tingkat kemasukan pelancong
KOTA BHARU,. Perkhidmatan penerbangan terus tiga kali seminggu dari Johor Bahru ke Kota Bahru oleh syarikat Firefly dijangka akan merancakkan promosi Tahun Melawat Kelantan 2020.
Exco Pelancongan Negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, inisiatif itu juga dilihat dapat membantu negeri itu untuk mencapai sasaran kemasukan pelancong seramai 5.5 juta tahun hadapan.
“Firefly bersama Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan juga dalam proses merangka program mempromosikan produk pelancongan Kelantan di Johor bertepatan dengan Tahun Melawat Kelantan 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menyambut dan menandakan ketibaan penerbangan sulung dari Johor Bharu ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSI), di sini, hari ini.
Majlis yang meraikan ketibaan kira-kira 50 penumpang pertama laluan Johor Bharu-Kota Bharu itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Sdn Bhd., Philip See Yew Jin.
Md Anizam berkata pelbagai pakej pelancongan sedang dibangunkan bersama penggiat industri itu dan akan dijual sepenuhnya di Johor dalam masa terdekat.
“Kerjasama ini diharap dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Kelantan 2020 yang bertemakan Kelantan di Hati atau ‘I Love Kelantan’ dengan berkonsepkan ‘Keluarga, Makanan dan Festival’, katanya.
Dalam pada itu, Philip, berkata Firefly akan menyediakan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu bagi laluan baharu itu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu.
Katanya, laluan baharu itu diwujudkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tinggi selain menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi bagi kedua-dua negeri dengan jangkaan sejumlah 400 penumpang seminggu.
Beliau berkata perkhidmatan itu juga akan membantu menjimatkan masa perjalanan kepada 90 minit berbanding sembilan jalan menggunakan pengangkutan darat.