ALOR SETAR,. Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya BDB Synergy Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM11.5 juta daripada Pihak Be
ALOR SETAR,. Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya BDB Synergy Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM11.5 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi membina dan menyiapkan Integrated Business Centre (IBC) di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap.
BDB melalui satu kenyataan hari ini memaklumkan projek di Plot PT2217, KRC itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dari tarikh penyerahan milikan tapak.
Skop kerja merangkumi pembinaan dan penyiapan bangunan IBC, kerja luaran, pemasangan elektrik dan mekanikal, kerja cerucuk serta kerja-kerja berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB Che Abdul Khalid Md Din berkata kontrak berkenaan mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan BDB Synergy dalam melaksanakan projek kejuruteraan dan pembinaan, termasuk yang dianugerahkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan.
“Penerimaan kontrak bernilai RM11.5 juta ini membuktikan bahawa Kumpulan BDB terus mendapat kepercayaan dalam menyokong pembangunan infrastruktur, bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri Kedah, malah turut melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata penglibatan BDB Synergy dalam projek IBC itu adalah selari dengan usaha kumpulan berkenaan untuk memperkukuh perniagaan teras dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan, selain memperluas penglibatan dalam projek infrastruktur strategik di Kedah.
KRC yang dibangunkan di kawasan Bukit Ketapang, Padang Terap merupakan projek strategik untuk merancakkan pembangunan di kawasan timur Kedah serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang antara wilayah timur dan pantai barat negeri itu.
BDB Synergy merupakan kontraktor Kelas G7 yang mempunyai lebih 44 tahun pengalaman dalam industri kejuruteraan dan pembinaan serta kepakaran melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan pembinaan berskala besar.
Antara projek utama syarikat itu yang kini di peringkat akhir penyiapan ialah projek menaik taraf Loji Rawatan Air Pelubang serta pemasangan jajaran paip yang dianugerahkan Kerajaan Negeri Kedah bernilai keseluruhan RM431 juta.
Che Abdul Khalid berkata kontrak baharu itu turut mengukuhkan rekod prestasi BDB Synergy dalam melaksanakan projek pembinaan di kawasan pembangunan strategik.
“BDB Synergy akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi memastikan projek IBC ini dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Kami komited untuk memastikan aspek kualiti, keselamatan, tadbir urus dan pematuhan diberi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek termasuk memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh NCIA serta semua pihak berkepentingan,” katanya.
— BERNAMA

