Program Biodiesel Negara diperluaskan secara berperingkat pada tahap B10, kepada B20,

HomeFeaturedBerita Semasa

Program Biodiesel Negara diperluaskan secara berperingkat pada tahap B10, kepada B20,

PUTRAJAYA,. Program Biodiesel Negara di Malaysia kini sedang dilaksanakan pada tahap B10 bagi sektor pengangkutan darat dan sedang diperluaskan secara

Krisis Asia Barat: KPT sedia tempatkan pelajar Malaysia terjejas di IPT tempatan
Malaysia galakkan pelaburan dari China dalam industri pelancongan, kata Tiong
Malaysia risiko hilang akses pasaran AS hampir RM200 bilion tanpa perjanjian ART – Tengku Zafrul

PUTRAJAYA,. Program Biodiesel Negara di Malaysia kini sedang dilaksanakan pada tahap B10 bagi sektor pengangkutan darat dan sedang diperluaskan secara berperingkat kepada B20. Sementara itu, sektor industri terus menggunakan adunan B7.

Pelaksanaan ini disokong oleh rantaian bekalan sedia ada yang melibatkan 19 loji pengeluaran biodiesel berlesen yang membekalkan Palm Methyl Ester (PME) kepada 34 depot pengadunan di seluruh negara.

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), keupayaan loji biodiesel negara menghasilkan bahan api yang memenuhi standard kualiti antarabangsa mencerminkan tahap kesiapsiagaan industri, infrastruktur serta rantaian bekalan domestik.

Ini mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia bersedia untuk beralih kepada penggunaan biodiesel B20 secara menyeluruh dan seterusnya B30, selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030.

Selain minyak sawit mentah (CPO) sebagai bahan mentah biodiesel, kerajaan turut menggalakkan penggunaan bahan mentah generasi kedua seperti minyak keladak (sludge palm oil) dan minyak masak terpakai (UCO).

Bahan-bahan ini sedang dibangunkan untuk penghasilan biobahan api termaju, termasuk Sustainable Aviation Fuel (SAF) dan Used Cooking Oil Methyl Ester (UCOME).

Dalam konteks Malaysia, pengeluaran biobahan api generasi kedua memberi tumpuan utama kepada pasaran eksport, didorong oleh permintaan global yang tinggi terhadap bahan api rendah karbon serta keperluan mematuhi piawaian kemampanan antarabangsa.

Kementerian turut sedang menyemak dan menambah baik Dasar Biobahan Api Negara selaras dengan agenda peralihan tenaga negara dan sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Usaha strategik ini bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui penggunaan sumber biojisim dan ekonomi kitaran, di samping memastikan produk biobahan api Malaysia kekal berdaya saing serta mematuhi keperluan kemampanan global dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

KPK menambah bahawa ia akan terus memperkukuh kerjasama strategik melalui sesi libat urus berterusan bersama semua pihak berkepentingan dan pemain industri, bagi memastikan setiap dasar yang digubal berasaskan analisis menyeluruh.

Kementerian kekal komited untuk menjadikan industri agrikomoditi dan biobahan api sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan serta kemakmuran negara.