JAKARTA,. Ekonomi Indonesia berkembang 5.61 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada suku pertama 2026, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik yang be
JAKARTA,. Ekonomi Indonesia berkembang 5.61 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada suku pertama 2026, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Ketua Badan Pusat Statistik (BPS), Amalia Adininggar Widyasanti berkata pertumbuhan itu melebihi pencapaian suku pertama sejak 2021.
“Jika kita lihat suku pertama 2026, ia pada 5.61 peratus, ini merupakan (kadar) pertumbuhan (ekonomi) tertinggi,” katanya seperti dipetik Agensi Berita Antara pada Selasa.
Menurut Amalia, kadar pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama antara 2021 hingga 2026 tidak pernah melebihi paras itu.
Amalia berkata pertumbuhan suku pertama menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, ekonomi berkembang 5.03 peratus pada 2022, 5.04 peratus pada 2023 dan 5.11 peratus pada 2024, sebelum susut sedikit kepada 4.87 peratus pada 2025.
Bagaimanapun, pada asas suku ke suku (q-o-q), ekonomi menguncup 0.77 peratus berbanding suku keempat 2025, mencerminkan faktor bermusim.
Penggunaan isi rumah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan, dengan sumbangan sebanyak 2.94 mata peratusan, disokong peningkatan mobiliti semasa cuti kebangsaan serta perayaan keagamaan utama.
Amalia berkata pelbagai langkah kerajaan termasuk dasar kawalan inflasi, diskaun tambang pengangkutan dan pemberian elaun hari raya turut membantu mengekalkan penggunaan.
Katanya, kadar faedah penanda aras Bank Indonesia pada 4.75 peratus akan terus menyokong permintaan domestik.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa melaporkan hasil negara mencecah Rp574.9 trilion, manakala perbelanjaan kerajaan berjumlah Rp815 trilion, sekali gus mengakibatkan defisit fiskal sebanyak Rp240.1 trilion.
“Defisit mencecah Rp240.1 trilion atau 0.93 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), setakat 31 Mac 2026,” katanya seperti dipetik Antara.
Purbaya berkata realisasi hasil negara merangkumi 18.2 peratus daripada sasaran belanjawan tahunan, dengan pertumbuhan 10.5 peratus tahun ke tahun.
“Hasil cukai dicatatkan pada Rp462.7 trilion, meningkat 14.2 peratus tahun ke tahun. Cukai yang diterima berjumlah Rp394.8 trilion, berkembang 20.7 peratus, manakala hasil kastam dan eksais sebanyak Rp67.9 trilion, susut 12.6 peratus,” katanya.
–Bernama

