Citadel Group Perluas Operasi ke Indonesia, Sokong Pembangunan Nusantara

Citadel Group Perluas Operasi ke Indonesia, Sokong Pembangunan Nusantara

28 Januari 2025, 06:00 MYT, / KUALA LUMPUR: Citadel Group kini memperkukuh kehadirannya di rantau ASEAN dengan pelancaran PT Citadel Group Indonesia yang berpusat di Jakarta. Langkah ini menandakan fasa baharu dalam pertumbuhan syarikat yang beraspirasi menjadi peneraju global sambil kekal berteraskan nilai serantau.

Menurut Pengarah Urusan Citadel Group, Fred Chan, penubuhan operasi di Indonesia adalah sebahagian daripada usaha strategik untuk menyokong pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN). Syarikat itu telah menandatangani surat hasrat bagi menyumbang kepada projek transformasi ini, termasuk membangunkan kawasan kediaman sebagai komitmen terhadap kemajuan projek ikonik tersebut.

Penglibatan Citadel turut mendapat pengesahan daripada Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN), menjadikannya pelabur asing kedua yang mengambil bahagian dalam projek berskala besar ini.

“Penglibatan kami dalam pembangunan Nusantara bukan sekadar pelaburan, tetapi juga komitmen untuk memacu inovasi dan memperkukuh hubungan serantau. Kami komited mencipta peluang yang mampu memberi impak positif kepada komuniti dan membina masa depan lebih baik untuk ASEAN,” kata Chan.

Citadel Group dikenali sebagai peneraju dalam kewangan digital, dengan kepakaran dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan kekayaan patuh syariah. Anak syarikatnya, Citadel Technologies, terus mencipta kejayaan dengan menerima pensijilan ISO 9001:2015 untuk sistem pengurusan kualiti dan ISO 27001:2022 untuk keselamatan maklumat, yang mencerminkan komitmen terhadap standard tertinggi dalam inovasi teknologi dan pengurusan kekayaan.

Di Malaysia, Citadel Technologies terus memacu inovasi melalui kolaborasi strategik, termasuk kerjasama dengan Kelab Bola Sepak Selangor dalam kewangan digital serta pelancaran aplikasi pelancongan Islam yang dirancang dalam masa terdekat.

Menjelang ulang tahun keenam penubuhannya, Citadel Group bersedia untuk mencapai lebih banyak kejayaan, termasuk melancarkan tawaran awam permulaan pada tahun 2025. Dengan memanfaatkan kerjasama strategik dan inisiatif pertumbuhan mampan, Citadel berazam untuk mentransformasi sektor pengurusan kekayaan dan teknologi digital di seluruh rantau ASEAN.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )