Pentadbiran Trump tarik balik pembatalan status sah pelajar antarabangsa

Pentadbiran Trump tarik balik pembatalan status sah pelajar antarabangsa

SAN FRANCISCO,. Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Jumaat mengumumkan akan menarik balik keputusan membatalkan status sah lebih 1,200 pelajar antarabangsa di tengah-tengah cabaran undang-undang, lapor Xinhua.

Jabatan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) sedang dalam proses memulihkan semula status pelajar yang ditamatkan dalam sistem “Student and Exchange Visitor Information System” (SEVIS) pada beberapa minggu kebelakangan ini, kata seorang peguam kerajaan kepada mahkamah persekutuan di Oakland, California.

Kenyataan serupa turut disampaikan oleh seorang lagi peguam kerajaan dalam satu sesi perbicaraan berasingan di Washington, D.C.

“ICE sedang merangka dasar yang akan menjadi garis panduan untuk penamatan rekod SEVIS.

“Sehingga polisi sedemikian dikeluarkan, rekod SEVIS untuk plaintif dalam kes ini (dan plaintif lain dalam situasi serupa) akan kekal aktif atau diaktifkan semula jika tidak aktif, dan ICE tidak akan mengubah rekod semata-mata berdasarkan dapatan NCIC yang menyebabkan penamatan rekod SEVIS sebelum ini,” menurut salinan kenyataan yang dikongsikan kepada media oleh Brian Green, peguam mewakili pihak plaintif.

SEVIS merupakan pangkalan data yang mengawasi pematuhan pelajar antarabangsa terhadap syarat visa mereka.

Manakala NCIC, yang dikendalikan FBI mengandungi rekod jenayah dan maklumat lain berkaitan penguatkuasaan undang-undang.

Menurut laporan The Associated Press, lebih 1,200 pelajar antarabangsa terjejas akibat penamatan besar-besaran status imigresen sejak akhir Mac lalu.

Keputusan itu mencetuskan gelombang saman oleh pelajar dari seluruh negara, hingga menyebabkan beberapa hakim persekutuan mengeluarkan perintah sekatan sementara untuk menghentikan pelaksanaan tindakan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This