
66,825 aduan konflik manusia-hidupan liar direkodkan sejak 2020
ISKANDAR PUTERI,. Sebanyak 66,825 aduan konflik manusia dengan hidupan liar direkodkan sejak 2020 hingga tahun lepas membabitkan kerugian RM46.5 juta.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peningkatan ketara itu melibatkan spesies haiwan seperti kera, gajah, babi hutan, Harimau Malaya dan tapir.
Beliau berkata di Johor sahaja 7,996 aduan dicatatkan dengan jumlah kerugian RM6.88 juta.
“Kita perlukan satu tindakan yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk selesaikan isu ini dan pendekatan yang lebih tuntas dan berkesan untuk tangani isu konflik manusia dan hidupan liar.
“Isu ini merupakan satu perkara yang mendesak sebagaimana kita tengok beberapa isu yang tular akhir-akhir ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri Johor dan sesi dialog bersama Menteri NRES, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon.
Nik Nazmi berkata kementerian telah melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani konflik manusia dengan hidupan liar terutama gajah.
Menurutnya usaha itu termasuk memelihara Central Forest Spine dan menambah kawasan perlindungan di bawah Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).
“Apabila kerajaan perkenalkan EFT, kita ada tengok peningkatan kawasan perlindungan di laut dan darat, (sehingga kini) kawasan keseluruhan 300,000 hektar.
“Daripada jumlah itu, 90,000 hektar melibatkan darat iaitu 14,000 hektar daripadanya telah digazet sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi berkata beliau menyambut baik usaha kerajaan Johor mengambil langkah proaktif menubuhkan jawatankuasa bagi menyelaras tindakan pengurusan konflik gajah dengan manusia di negeri ini secara bersepadu dan sistematik.
Beliau berkata langkah strategik itu sewajarnya dijadikan contoh kepada negeri lain bagi meningkatkan keberkesanan usaha menangani konflik manusia dengan hidupan liar.
— BERNAMA