
COVID-19: Golongan muda, bergaji rendah paling terjejas di UK
LONDON,. Perintah berkurung di United Kingdom (UK) untuk membendung COVID-19 memberikan impak terbesar kepada golongan muda, bergaji rendah dan pekerja wanita.
Ia menurut kaji selidik yang menunjukkan jurang kesaksamaan semakin melebar semasa pandemik.
Golongan berusia 25 tahun ke bawah adalah dua kali ganda pekerja lain yang bekerja di kedai, restoran, hotel dan perkhidmatan hiburan, sektor yang ditutup selepas UK mengarahkan penduduknya berada di rumah, demikian menurut Institut Kajian Fiskal (IFS).
Golongan wanita pula adalah satu pertiga berbanding lelaki bekerja dalam sektor yang kini ditutup, kata kumpulan itu.
Memandangkan wanita dan golongan bergaji rendah lebih ramai bekerja dalam sektor sedemikian, COVID-19 akan memberikan impak lebih besar kepada pendapatan mereka, kata IFS.
“Terdapat penumpuan yang besar pekerja muda dan bergaji rendah dalam sektor paling terkesan oleh perintah berkurung,” kata ahli ekonomi kanan IFS, Xiaowei Xu.
“Bagi jangka masa lebih panjang, akan ada kebimbangan lebih besar terhadap kesan krisis ini ke atas golongan muda khususnya dan jurang kesaksamaan secara lebih umumnya.”
UK bergelut untuk melindungi perniagaan dan pekerja daripada kesan pandemik serta sekatan yang dikenakan bagi menanganinya.
Menteri Kewangan, Rishi Sunak, berkata beliau akan ‘melakukan apa saja’ untuk melindungi pekerjaan dan menyuntik lebih 60 bilion pound (RM320 bilion) bantuan langsung dan ratusan bilion pound jaminan pinjaman.
Bloomberg Economics menganggarkan penutupan akan menyaksikan 700,000 pekerja diberhentikan, menjadikan kadar pengangguran mencecah enam peratus, tertinggi dalam tempoh enam tahun.
Krisis coronavirus telah mengubah landskap fiskal.
Britain dijangka mencatatkan defisit bajet 55 bilion pound (RM295 bilion) bagi tahun fiskal bermula April.
Kini, menurut IFS, pinjaman akan menjadi setinggi 200 bilion pound (RM1.07 trilion) apabila ekonominya yang dijangka menguncup sekurang-kurangnya lima peratus tahun ini kehilangan pendapatan cukai dan menambah perbelanjaan kebajikan. – Bloomberg