OSLO,. Kerajaan Norway pada Khamis memaklumkan akan meneruskan rancangan mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial selepas menerima maklum bal
OSLO,. Kerajaan Norway pada Khamis memaklumkan akan meneruskan rancangan mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial selepas menerima maklum balas positif daripada Suruhanjaya Eropah dan Pihak Berkuasa Pengawasan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (ESA), lapor Xinhua.
Di bawah rang undang-undang yang dicadangkan, individu dibenarkan mengakses media sosial mulai 1 Jan pada usia 16 tahun, menurut kenyataan kerajaan.
“Kami mahu melindungi kehidupan digital kanak-kanak dan akan memperkenalkan had umur bagi penggunaan media sosial,” kata Menteri Kanak-Kanak dan Keluarga Lene Vagslid sambil menyifatkan maklum balas daripada Suruhanjaya Eropah dan ESA sebagai positif serta berguna.
Norway merancang menguatkuasakan had umur itu dalam kerangka Akta Perkhidmatan Digital (DSA) Kesatuan Eropah (EU), dengan platform media sosial bertanggungjawab mengesahkan umur pengguna.
Kerajaan menerima maklum balas daripada ESA pada 5 Ogos dan Suruhanjaya Eropah pada 10 Ogos.
Menurut kenyataan itu, Arahan e-Dagang EU mahupun DSA tidak menghalang Norway daripada menetapkan had umur di peringkat nasional, selagi undang-undang berkenaan tidak mengenakan kewajipan tambahan ke atas penyedia media sosial.
Kerajaan menyasarkan untuk membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen Norway sebelum akhir tahun ini.
Cadangan itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh kerajaan untuk memperbaiki persekitaran digital kanak-kanak termasuk saranan mengurangkan masa skrin dan penggunaan telefon pintar, memperkukuh pemantauan terhadap pemasaran digital yang menyasarkan kanak-kanak serta tidak menggalakkan penggunaan telefon bimbit dan jam tangan pintar di sekolah.
Norway bukan anggota EU tetapi mengambil bahagian dalam pasaran tunggal EU menerusi Kawasan Ekonomi Eropah.
— BERNAMA-XINHUA

