PUTRAJAYA,. Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dipilih sebulat suara sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Institusi Audit Tertingg
PUTRAJAYA,. Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dipilih sebulat suara sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi Asia (ASOSAI) bagi penggal 2027 hingga 2030.
Jabatan Audit Negara (JAN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan tersebut dicapai semasa Mesyuarat Lembaga Pengelola ASOSAI ke-63 di Astana, Kazakhstan, semalam dengan kali terakhir Malaysia dipilih menyandang jawatan tersebut ialah pada 1982.
“Sebagai Setiausaha Agung, beliau (Wan Suraya) akan mengetuai Sekretariat ASOSAI yang bakal berpusat di Malaysia mulai 2027. JAN akan mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada National Audit Office of the People’s Republic of China.
“Sekretariat ini akan menyelaras perancangan dan pelaksanaan kesemua program ASOSAI, urusan Lembaga Pengelola, komunikasi antara anggota serta pengurusan pentadbiran dan kewangan organisasi,” menurut kenyataan itu.
JAN memaklumkan pemilihan Wan Suraya sebagai setiausaha agung mencerminkan keyakinan negara anggota Lembaga Pengelola ASOSAI terhadap kepimpinan beliau dalam menerajui hala tuju organisasi, khususnya dalam bidang pembangunan kapasiti, penyelidikan dan perkongsian kepakaran pengauditan sektor awam.
Sejak dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada pertengahan 2023, Wan Suraya telah diberi kepercayaan untuk menerajui jawatankuasa dan kumpulan kerja strategik di peringkat ASEAN, ASOSAI dan Pertubuhan Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (INTOSAI), termasuk Jawatankuasa Audit ASEAN, Jawatankuasa Perkongsian Pengetahuan Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi ASEAN (ASEANSAI), ASOSAI Working Group on State-Owned Enterprises Audit (WGSOEA) dan Kumpulan Kerja mengenai Audit Susulan (WGFA).
Dalam mesyuarat di Astana, Wan Suraya turut membentangkan laporan kemajuan ASOSAI WGSOEA yang ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Malaysia sejak 2024 dan kumpulan kerja berkenaan merupakan kumpulan kerja kedua terbesar dengan 34 keahlian negara ASOSAI.
“WGSOEA kini sedang membangunkan ASOSAI Guidelines on State-Owned Enterprises Audit buat julung-julung kalinya sebagai rujukan bersama untuk memperkukuh pengauditan dan tadbir urus syarikat milik kerajaan di peringkat serantau,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAN, garis panduan itu merangkumi pengauditan kewangan, pematuhan dan prestasi khusus bagi syarikat milik kerajaan serta dijadualkan untuk dilancarkan pada Perhimpunan Agung ASOSAI ke-17 di Jeddah, Arab Saudi pada 2027.
Selain itu, dalam mesyuarat tersebut, ASOSAI turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas kesediaan menjadi tuan rumah bengkel bertajuk “Performance Audit on Public Works Projects” di Akademi Audit Negara pada Oktober 2026.
Bengkel selama dua minggu itu akan memperkukuh keupayaan institusi audit tertinggi anggota ASOSAI dalam pengauditan prestasi projek kerja awam.
Menurut kenyataan itu, lawatan kerja ke Kazakhstan turut merangkumi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara JAN dengan Board of Audit and Inspection of Korea bagi memberi tumpuan kepada pertukaran kepakaran, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dan pendekatan digital dalam pengauditan sektor awam di kedua-dua negara.
Wan Suraya turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari China, Rusia, Kazakhstan, Iran dan Pakistan, selain berkongsi pengalaman melalui pembentangan kertas negara bertajuk “Audit of Sustainable Development Impact Assessment and Public Engagement” pada International Scientific and Practical Conference.
— BERNAMA

