Bebas tuduhan rogol, hakim nasihat Da’i Syed jangan salah guna populariti

HomeFeaturedJenayah

Bebas tuduhan rogol, hakim nasihat Da’i Syed jangan salah guna populariti

PUTRAJAYA: Seorang hakim Mahkamah Rayuan menasihati pendakwah selebriti Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful supaya tidak

Pasangan kekasih ditahan tanam pokok ganja di kediaman sewa
Pahang catat 90 kes kebakaran terbuka dari 2 hingga 24 Ogos – JBPM
Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

PUTRAJAYA: Seorang hakim Mahkamah Rayuan menasihati pendakwah selebriti Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful supaya tidak menyalahgunakan popularitinya dengan mengambil kesempatan terhadap individu yang berada dalam keadaan terdesak.

Hakim Datuk Azman Abdullah yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata perbuatan mengambil kesempatan terhadap individu yang terganggu emosinya boleh mencemarkan nama baik golongan yang membawa imej agama.

“Saya ingin memberikan sedikit nasihat kepada perayu. Nasihat saya ini bukan sahaja ditujukan kepada kamu, tetapi setiap hari kami menerima banyak kes melibatkan rogol, liwat dan sebagainya yang berlaku di pondok-pondok sekolah oleh tenaga pengajar … dan ia memberikan imej yang buruk kepada masyarakat,” katanya.

Syed Shah Iqmal, 31, yang berada di kandang tertuduh dilihat mengangguk mendengar nasihat hakim itu.

Sebelum itu, Hakim Azman dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dalam keputusan majoriti 2-1 melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019, manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan akhir Syed Shah Iqmal terhadap sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selepas keputusan majoriti disampaikan oleh Hakim Azman, Syed Shah Iqmal yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis, manakala isterinya Hana Ismail yang berada di galeri awam juga menitiskan air mata.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira 1.35 pagi 11 September 2019, mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian memerintahkannya membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Hakim Azman dalam penghakimannya berkata terdapat kekhilafan yang serius dalam dapatan Mahkamah Tinggi dan Sesyen sebelum ini sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata tingkah laku mangsa, yang merupakan saksi pendakwaan pertama (SP1), tidak selari dengan kelakuan seseorang yang menjadi mangsa rogol tanpa kerelaan.

“Tiada rasa cemas, panik, trauma serta-merta atau reaksi kesedihan oleh mangsa di lokasi kejadian. Mangsa tidak cuba melarikan diri, sebaliknya bermalam di rumah perayu dan hanya pulang keesokan harinya.

Setibanya di rumah, SP1 menghantar mesej ‘Safely Arrived’ kepada perayu menerusi WhatsApp dan Instagram, sebelum kedua-duanya terus berkomunikasi selama beberapa bulan berikutnya.

“SP1 tidak pernah meluahkan rasa marah, kesal atau sedih terhadap perbuatan perayu pada malam berkenaan. Sebaliknya, mesej-mesej itu menunjukkan SP1 memulakan perbualan secara santai dan berterusan serta berusaha mengajak perayu untuk bertemu lagi,” katanya sambil menambah perayu tidak pernah menafikan melakukan hubungan seks, namun menegaskan ia dilakukan atas kerelaan wanita terbabit.

Hakim Azman berkata mangsa juga hanya membuat laporan polis pada 25 November 2021, iaitu 441 hari selepas kejadian susulan perayu (Syed Shah Iqmal) mula menunjukkan kurang minat dan tidak lagi membalas mesejnya dan dakwaan bahawa persetubuhan berlaku secara paksa tidak boleh diterima oleh mahkamah.

Hakim Azman berkata mahkamah turut meneliti keadaan kesihatan mental SP1 yang mempunyai sejarah mengalami kemurungan dan menerima rawatan psikiatri.

Menurut beliau SP1 sebelum ini disahkan mengalami kemurungan dengan simptom keresahan serta diberikan ubat bagi merawat kemurungan dan menstabilkan emosinya, namun mahkamah berpendapat faktor kemurungan atau kenaifan SP1 tidak boleh secara automatik digunakan untuk menafikan kerelaan dalam hubungan seks itu.

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, justeru sabitan terhadap perayu tidak selamat untuk dikekalkan. Memandangkan sabitan terhadap perayu diketepikan, rayuan silang pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman menjadi akademik.

“Dengan ini, kami membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen serta disahkan oleh Mahkamah Tinggi. Perayu dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Hakim Meor Hashimi dalam penghakimannya berkata mangsa disahkan mengalami Major Depressive Disorder with Psychosis Borderline Personality Disorder menyebabkan tiada izin (consent) boleh diberikan oleh mangsa dalam hubungan seks dengan perayu.

“Ini menunjukkan hubungan seks antara perayu dan mangsa dilakukan tanpa kerelaan mangsa dan dengan paksaan perayu. Perayu telah mengambil kesempatan atas masalah kemurungan berpanjangan yang dialami oleh mangsa,” katanya.

Hakim itu berkata perbuatan mangsa yang masih menghantar mesej-mesej kepada perayu selepas kejadian rogol menunjukkan mangsa tidak bertindak seperti seorang yang normal akibat masalah kemurungan yang berpanjangan dan diberikan ubat untuk mengubati masalah kecelaruan personaliti, gangguan halusinasi dan keinginan membunuh diri.

Hakim Meor Hashimi menolak rayuan perayu selepas mendapati rayuan itu tidak bermerit, dan mengekalkan sabitan serta hukuman oleh Mahkamah Sesyen yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Saya juga menolak rayuan pendakwa raya terhadap hukuman selepas mendapati hukuman yang dikenakan adalah memadai, setimpal dan tidak keterlaluan setelah mengambil kira aspek kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh perayu,” katanya.

Pada prosiding hari ini perayu diwakili peguam Datuk M. Athimulan, ⁠Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim.

— BERNAMA