PUTRAJAYA,. Lapan dekad penubuhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencerminkan evolusi pendekatan kebajikan negara, daripada pemberian bantuan kepa
PUTRAJAYA,. Lapan dekad penubuhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencerminkan evolusi pendekatan kebajikan negara, daripada pemberian bantuan kepada usaha lebih menyeluruh meliputi pemulihan, perlindungan dan pemerkasaan golongan rentan agar mereka mampu kembali menjalani kehidupan bersama masyarakat dengan lebih bermaruah.
Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata perubahan pendekatan itu penting selaras dengan perkembangan dan kompleksiti isu sosial yang dihadapi masyarakat, sekali gus menuntut JKM sentiasa peka terhadap keperluan semasa.
“Kita bukan lagi bercerita tentang menyalurkan bantuan sampai bila-bila. Tidak. Kita mahu supaya mereka ini dikembalikan ke dalam masyarakat, diberi upaya yang baharu dalam masyarakat.
“Akhirnya mereka ini boleh meneruskan kehidupan bersama masyarakat,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas baru-baru ini.
Menurut beliau, konsep “menelusuri denyut nadi rakyat” bermaksud JKM perlu memahami isu yang berlaku dalam masyarakat dan memberikan tindak balas berdasarkan keperluan semasa.
Beliau berkata antara perubahan ketara dapat dilihat menerusi peningkatan kesedaran mengenai autisme, dengan jumlah individu berdaftar dengan JKM meningkat daripada 10,346 pada 2015 kepada 96,359 sehingga 31 Ogos 2026.
Che Murad Sayang berkata peningkatan itu bukan semata-mata menggambarkan pertambahan individu yang dikenal pasti, malah turut mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin baik hasil program advokasi, kesedaran dan pemulihan.
Beliau berkata pendekatan sama turut diterapkan dalam penyampaian perkhidmatan kepada Orang Kurang Upaya (OKU), dengan 863,210 individu kini berdaftar dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) merangkumi tujuh kategori OKU.
“Angka ini memperlihatkan luasnya kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian dan sokongan, sekali gus menuntut JKM terus memahami realiti kehidupan mereka dan menyesuaikan perkhidmatan dengan keperluan yang berubah,” katanya.
Beliau berkata denyut kehidupan rakyat juga diterjemahkan menerusi pendekatan JKM terhadap kanak-kanak di bawah perlindungannya, apabila institusi tidak lagi dilihat sebagai destinasi akhir, sebaliknya menjadi platform menyediakan pendidikan dan kemahiran sebelum mereka melangkah keluar pada usia 18 tahun.
Che Murad Sayang berkata kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan akademik diberi sokongan untuk mencapai kecemerlangan manakala mereka yang lebih cenderung kepada kemahiran dibantu menerusi kerjasama dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, beliau berkata pendekatan pemulihan turut diperluas kepada golongan gelandangan menerusi empat Desa Bina Diri yang menyediakan program pembangunan diri, kemahiran dan kerohanian bagi membantu mereka menjadi lebih produktif serta berdikari.
“Perkembangan ini memperlihatkan perubahan peranan JKM daripada sekadar menyediakan perlindungan kepada usaha membina keupayaan dan membuka ruang bagi golongan rentan menentukan hala tuju kehidupan mereka,” katanya.
Che Murad Sayang berkata fungsi perlindungan kekal sebagai teras, khususnya bagi kanak-kanak terabai, OKU terlantar dan warga emas yang tidak mempunyai penjaga, yang memerlukan penjagaan 24 jam.
Pada masa sama, beliau berkata JKM perlu menyesuaikan perkhidmatan dengan perubahan demografi negara, khususnya peningkatan populasi warga emas yang dijangka hampir 15 peratus daripada penduduk menjelang 2036, menjadikan Malaysia sebuah negara menua.
Seiring perubahan keperluan masyarakat, Che Murad Sayang berkata JKM turut memperkemas penyampaian perkhidmatan menerusi transformasi digital termasuk penggunaan aplikasi Info Bencana JKM (MyIBJKM) bagi memudahkan pengurusan mangsa di pusat pemindahan sementara serta eBantuanJKM yang membolehkan permohonan dan semakan status bantuan kebajikan dilakukan secara dalam talian.
Menurut Che Murad Sayang, evolusi JKM juga memerlukan penglibatan keluarga, komuniti, badan bukan kerajaan dan sektor korporat kerana tanggungjawab menangani isu sosial tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan.
“JKM akan sentiasa relevan sampai bila-bila dan terus menabur bakti. JKM akan sentiasa responsif kepada apa juga perubahan dalam masyarakat. Kita bukan bercerita tentang bantuan kewangan semata-mata, tetapi kita pergi jauh daripada itu,” katanya.
Selepas 80 tahun, beliau berkata perjalanan JKM bukan sekadar mengenai jumlah bantuan yang disalurkan tetapi sejauh mana jabatan itu mampu memahami perubahan kehidupan rakyat dan bertindak mengikut keperluan mereka.
“Daripada perlindungan kepada pemulihan, daripada bantuan kepada pemerkasaan, denyut JKM terus bergerak seiring denyut rakyat bagi memastikan mereka yang berdepan cabaran bukan sekadar dibantu untuk hari ini tetapi turut diberi ruang membina hari esok,” katanya.
— BERNAMA

