SINGAPURA,. Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) baru-baru ini melancarkan inisiatif MyHeart Global Connect yang berperanan sebagai platform s
SINGAPURA,. Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) baru-baru ini melancarkan inisiatif MyHeart Global Connect yang berperanan sebagai platform strategik untuk memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan rangkaian rakyat Malaysia di luar negara bagi mengukuhkan pembangunan bakat negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Biruntha Mooruthi berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan cara yang lebih teratur bagi rakyat Malaysia yang berjaya di luar negara untuk terus berhubung dengan bakat dan pembangunan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata MyHeart Global Connect ditubuhkan demi menghubungkan kepakaran Malaysia di seluruh dunia dengan peluang untuk mengukuhkan Malaysia dalam ruang tempatan.
“Rakyat Malaysia sedang menerajui syarikat terkemuka, membangunkan teknologi, menjalankan penyelidikan dan mencipta perniagaan di seluruh dunia.
“Kami mahu membangunkan rangkaian kukuh rakyat Malaysia di luar negara yang sanggup menyumbang kepakaran, pengalaman dan hubungan mereka serta mewujudkan laluan jelas yang menghubungkan mereka dengan peluang di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual bertulis, baru-baru ini.
Inisiatif MyHeart Global Connect dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan pada 7 Ogos semasa acara rangkaian dengan diaspora Malaysia di Singapura.
Ramanan menzahirkan harapan agar lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh dunia akan berkongsi pengalaman mereka menerusi MyHeart Global Connect, membuka pintu kepada Malaysia untuk mengukuhkan perkongsian antarabangsa.
“Itulah jenis hubungan yang ingin kami bina. Sesuatu yang berterusan, sesuatu yang mewujudkan nilai untuk rakyat Malaysia di luar negara dan untuk Malaysia sendiri,” katanya.
Menurut Biruntha, Singapura ialah titik permulaan penting kerana saiz dan keteguhan komuniti profesional Malaysia yang menetap di republik itu, serta hubungan ekonomi yang erat antara kedua-dua negara.
Komponen utama MyHeart Global Connect ialah pembentukan majlis penasihat yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang mempunyai kepakaran merangkumi industri, teknologi, akademik, keusahawanan dan bidang strategik lain.
Pada mulanya, ia akan terdiri daripada 15 warga Malaysia yang berpangkalan di 10 negara yang akan membantu membuka pintu, memindahkan pengetahuan, menghubungkan ekosistem dan mendorong Malaysia bergerak ke hadapan.
“Kami sedang mencari individu yang memahami perkembangan global, mempunyai rangkaian antarabangsa yang kukuh dan yang lebih penting dapat membantu menterjemahkan pengetahuan itu kepada peluang untuk Malaysia.
“Malaysia mempunyai kumpulan bakat yang luar biasa di seluruh dunia dan MyHeart Global Connect adalah mengenai menjadikan kepakaran global itu sebahagian daripada kelebihan bakat Malaysia,” kata Biruntha.
Di samping itu, beliau menekankan bahawa peranan TalentCorp adalah untuk mengenal pasti di mana Malaysia mempunyai bakat atau keperluan keupayaan yang tulen, kemudian mencari kepakaran yang sesuai dalam rangkaian global Malaysianya dan membawa pihak yang berkaitan bersama-sama.
“Kami melihat peluang meliputi bimbingan, pemindahan pengetahuan dan teknologi, nasihat industri, kerjasama penyelidikan, keusahawanan, pelaburan, perkongsian perniagaan dan akses kepada rangkaian antarabangsa,” tambahnya.
Dalam berbuat demikian, beliau berkata TalentCorp akan terus menumpukan pada memastikan bahawa hubungan yang diwujudkan melalui MyHeart Global Connect akan diterjemahkan kepada hasil yang ketara untuk pembangunan bakat Malaysia.
Beliau berkata adalah penting bagi inisiatif itu dapat bergabung dengan seluruh ekosistem TalentCorp dan bukannya beroperasi sebagai program diaspora yang berdiri sendiri.
“Jika Majlis Bakat Kemahiran Masa Depan MyMahir kami mengenal pasti keupayaan atau jurang kemahiran yang semakin meningkat, rangkaian diaspora kami berpotensi menjadi antara sumber yang kami gunakan untuk membantu menanganinya,” katanya.
Pada masa sama, Program Pakar Kembali TalentCorp terus menyediakan laluan kepada rakyat Malaysia yang memilih untuk pulang ke tanah air mereka.
— BERNAMA

