WASHINGTON,. Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance berkata pada Khamis bahawa Washington kini memasuki “fasa baharu” dalam perang terhadap Iran
WASHINGTON,. Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance berkata pada Khamis bahawa Washington kini memasuki “fasa baharu” dalam perang terhadap Iran dengan tekanan ekonomi menjadi “alat paling berkesan” untuk mencapai matlamat AS, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kita kini berada dalam fasa baharu apabila alat paling berkesan yang kita miliki ialah tekanan ekonomi yang boleh dikenakan terhadap mereka,” kata beliau dalam wawancara bersama The Clay Travis & Buck Sexton Show.
“Kita akan terus melaksanakannya,” katanya.
Vance berkata peningkatan bekalan minyak dan gas yang dapat membantu mengurangkan tekanan harga bahan api dan tenaga kepada rakyat AS pada masa sama boleh memberikan tekanan ekonomi yang besar terhadap Iran serta mempengaruhi pertimbangannya.
Beliau mengakui strategi itu memerlukan pendekatan berhati-hati memandangkan Iran juga boleh bertindak balas dengan mengenakan tekanan ekonomi terhadap AS.
Bagaimanapun, Vance berkata Washington percaya tekanan berterusan merupakan kaedah terbaik untuk mencapai matlamatnya.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Jabatan Perbendaharaan AS menambah 10 individu ke dalam senarai sekatan berkaitan Iran.
Terdahulu pada Khamis, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata Washington akan mengenakan “sekatan paling ketat dalam sejarah” terhadap Iran.
“Tekanan ekonomi bermakna kami akan mendapatkan kerjasama semua sekutu dan ini akan menjadi pengasingan ekonomi terselaras terbesar dalam sejarah dunia,” kata beliau kepada saluran berita perniagaan CNBC.
— BERNAMA-ANADOLU

