Keysight buka Makmal Ujian Pengawalseliaan di Pulau Pinang

Keysight buka Makmal Ujian Pengawalseliaan di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR,. Keysight Technologies Inc (Keysight), sebuah syarikat teknologi yang beribu pejabat di Santa Rosa, California, Amerika Syarikat, mengumumkan pembukaan Makmal Ujian Pengawalseliaan baharu di Pulau Pinang pada 6 Mei, 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, Keysight berkata makmal ujian itu akan memberikan perkhidmatan ujian keserasian elektromagnet bertauliah (EMC) untuk pengeluar peranti elektronik dan industri kritikal merentasi semua komunikasi tanpa wayar, Internet Industri Pelbagai Perkara (IIoT), automotif, kesihatan dan aplikasi perubatan.

Kemudahan di Pulau Pinang adalah kemudahan pematuhan dan pengujian bertaraf dunia pada masa depan yang ditubuhkan oleh Keysight untuk menawarkan kepakaran, pengetahuan, kecekapan, kapasiti dan perkhidmatan pelanggan yang khusus termasuk perkhidmatan penentukuran dan ujian.

Keysight ketika ini mempunyai kemudahan ujian serupa di California, Amerika Syarikat (AS) dan di Boeblingen, Jerman.

Menyambut baik pembukaan makmal ujian itu , Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata pembukaan makmal ujian ini juga menandakan ekosistem industri Malaysia yang kukuh serta pemegang kepentingan penting dalam teknologi baharu untuk menyokong kereta tanpa pemandu, kenderaan elektrik, peranti 5G dan IoT, serta peralatan perubatan.

“Pengumuman ini adalah berita yang menggembirakan, walaupun dalam tempoh yang mencabar, Malaysia terus memberikan kelebihan kepada para pelabur untuk aktiviti nilai tambah yang tinggi menjanjikan pertumbuhan jangka panjang dan berterusan.

“Pembukaan makmal ini akan membolehkan pengeluar untuk memendekkan waktu mereka dengan menghapuskan keperluan untuk menghantar produk mereka ke luar negera untuk diuji, oleh itu, memberikan waktu yang lebih cepat untuk menyerahkan barangan mereka kepada pelanggan. Ini juga akan membolehkan pengeluar mengurangkan kos kerana pengujian kini dapat dilakukan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Keysight Technologies Inc. dan Presiden Kumpulan Industri Penyelesaian Elektronik Keysight (EISG) Datuk Gooi Soon Chai berkata: “Keysight berbangga dengan menjalankan operasi hampir 50 tahun kami di Malaysia dan kerjasama erat kami dengan MIDA selama bertahun-tahun, di mana ia telah membolehkan penubuhan kemudahan terbaharu kami di sini.”

“Kami terus komited untuk membantu pelanggan dan ekosistem kami di rantau ini dengan penyelesaian komprehensif kami, bahkan pada masa yang paling sukar dan terdesak,” katanya.

Keysight mula melabur di Malaysia pada tahun 1972 dengan operasi pertamanya adalah di Georgetown, Pulau Pinang.

Hari ini, ia mempunyai kawasan seluas 16.97 hektar di Kawasan Perindustrian Bebas Pulau Pinang, dengan kemudahan canggih seluas 1.2 juta kaki persegi.

Ini adalah antara teras utama Keysight di seluruh dunia, dengan operasi yang merangkumi pengurusan perniagaan, penjualan, sokongan, pemasaran, pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, rantaian bekalan dan perkhidmatan infrastruktur global.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )