KKDW: RM4 BILION SETAHUN DIPERLUKAN UNTUK PASTIKAN KESINAMBUNGAN PROJEK JALAN LUAR BANDAR

HomeFeaturedBerita Semasa

KKDW: RM4 BILION SETAHUN DIPERLUKAN UNTUK PASTIKAN KESINAMBUNGAN PROJEK JALAN LUAR BANDAR

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menganggarkan keperluan peruntukan sekitar RM4 bilion setahun bagi memastikan kesinambunga

Istiadat angkat sumpah Exco Johor ditangguh ke esok
Jom sertai Hari Internet Selamat 2026 esok, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung
Pentadbiran Trump keluar sapina terhadap wartawan New York Times berhubung laporan Air Force One

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menganggarkan keperluan peruntukan sekitar RM4 bilion setahun bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang sedang berjalan dan projek baharu yang telah diluluskan.

Kenyataan KKDW memaklumkan keperluan itu mengambil kira sifat projek pembangunan JALB yang dilaksanakan secara berperingkat, dengan sebahagiannya memerlukan tempoh beberapa tahun untuk disiapkan.

Menurut kementerian itu, bagi 2026, projek JALB menerima peruntukan RM2.107 bilion, dengan 415 projek telah dilaksanakan setakat 1 Sept membabitkan perbelanjaan sekitar RM1.995 bilion atau 94 peratus daripada peruntukan berkenaan.

“Keadaan ini menunjukkan tahap pelaksanaan projek yang aktif di seluruh negara dan keperluan untuk memastikan projek yang sedang berjalan dapat diteruskan dengan teratur sehingga siap,” menurut kenyataan itu.

KKDW memaklumkan dalam mengurus keperluan berkenaan, kementerian sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peruntukan tersedia dimanfaatkan sebaik mungkin, dengan keutamaan diberikan kepada kesinambungan projek yang sedang dilaksanakan.

Kementerian itu turut menghargai kelulusan RM300 juta oleh Kementerian Kewangan (MoF), yang disifatkan akan membantu memenuhi keperluan semasa pelaksanaan projek JALB.

Menurut KKDW, pembangunan jalan luar bandar bukan sekadar pelaksanaan projek fizikal sebaliknya kemudahan jalan yang baik yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian masyarakat.

KKDW memaklumkan jaringan jalan luar bandar yang baik bukan sahaja memudahkan anak-anak ke sekolah dan penduduk mendapatkan rawatan di hospital serta klinik malah membantu petani membawa hasil ke pasaran serta peniaga menjalankan kegiatan ekonomi selain memberi akses lebih baik kepada masyarakat luar bandar terhadap pelbagai perkhidmatan asas.

Atas kepentingan itu, KKDW menegaskan bahawa pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap pelaksanaan projek JALB supaya pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan manfaatnya sampai kepada rakyat.

Dalam pada itu, KKDW akan terus bekerjasama erat dengan MoF, Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan bagi memastikan perancangan projek dan keperluan peruntukan dapat diselaraskan secara lebih berkesan serta mampan.

Pada masa sama, setiap peruntukan akan terus diurus secara berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi tatacara kewangan kerajaan.

“Keutamaan KKDW kekal kepada rakyat, iaitu memastikan pembangunan luar bandar dapat diteruskan, kemudahan asas dipertingkat dan manfaatnya sampai kepada masyarakat yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata tiada sebarang sekatan dibuat ke atas peruntukan KKDW berhubung projek jalan luar bandar dan peruntukan itu telah disalurkan sepenuhnya.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek jalan luar bandar.

— BERNAMA