Bundesliga amal normal baharu

Bundesliga amal normal baharu

BERLIN,. Jerman menyambung kembali saingan Bundesliga semalam secara tertutup dengan Borussia Dortmund membelasah Schalke di Signal Idura Park.

Sebagai rujukan kepada liga-liga lain di Eropah dan mungkin dunia, terdapat beberapa situasi dalam permainan itu yang mungkin boleh dianggap sebagai normal baharu bola sepak.

Penyerang sensasi Erling Braut Haaland meneruskan ketajamannya di depan gawang dengan gol pembukaan dalam kemenangan 4-0 itu.

Jika kebiasaannya penjaring gol akan dikerumuni rakan sepasukan, Haaland memastikan jarak antara mereka dengan menari di tepi padang.

Schalke menjadi pasukan pertama memanfaatkan peraturan baharu yang membenarkan lima pertukaran dilakukan dalam permainan.

Pengendali Dortmund Lucien Favre pula membuat empat pertukaran dengan pemain terbaik perlawanan Raphael Guerreiro digantikan Marcel Schmelzer.

Penambahan pertukaran itu dilakukan bagi mengurangkan risiko kecederaan selepas dua bulan tidak beraksi.

Selain kekosongan di tempat duduk penonton, peminat-peminat yang menonton menerusi televisyen turut melihat pemain-pemain simpanan memakai pelitup.

Ia antara garis panduan ditetapkan untuk Bundesliga meneruskan saingan sebelum liga Eropah lain menyusul.

Bagaimanapun tidak semua peminat bersetuju saingan bola sepak disambung ketika pandemik COVID-19 masih mengorbankan nyawa di seluruh dunia. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )