
Abm Wilayah Selatan Sebagai Platform Utama Peluang Kemahiran Dan Kerjaya Dalam Tvet Pembinaan
PONTIAN, JOHOR (15 DISEMBER 2024) – Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan dengan sokongan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menganjurkan Karnival Kemahiran dan Kerjaya TVET Pembinaan di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor pada hari ini.
Karnival ini merupakan platform bagi mempromosi peluang latihan, pekerjaan dan pembangunan kemahiran kepada golongan belia serta personel binaan dalam sektor pembinaan selaras dengan Dasar TVET Negara 2030. Program Latihan dan Penilaian yang dilaksanakan oleh ABM adalah seiring dengan slogan CIDB sebagai Peneraju TVET Pembinaan yang telah dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 6 Ogos 2024.
Perkara ini ditekankan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ucapan beliau semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kemahiran dan Kerjaya TVET pada hari ini. “Ia mencerminkan peranan CIDB sebagai peneraju dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan. CIDB juga telah mewujudkan Construction Skills Qualification Framework (CSQF) dengan menyediakan kerangka berstruktur untuk pembangunan kemahiran dalam industri pembinaan, memperkukuh peranan CIDB sebagai badan pensijilan utama untuk program TVET Pembinaan”.
Turut hadir semasa majis berkenaan adalah ADUN Pulai Sebatang, Puan Hajjah Hasrunizah binti Hassan, Pengarah CIDB Negeri Johor, Sr Ahmad Farrin Mokhtar, Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran & Akreditasi CIDB, Encik Suhaimi bin Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Selatan, Encik Mohd Zaidi Bin Rahmat dan Pegawai Daerah Pontian, Encik Kamalluddin bin Jamal.
Pelaksanaan program TVET Pembinaan oleh ABM Wilayah Selatan ini telah bermula pada tahun 2000 lagi. Sehingga kini, ABM Wilayah Selatan telah melatih dan mengakredit lebih 70,000 orang pekerja binaan mahir. Pada tahun ini sahaja, ABM Wilayah Selatan telah melatih 808 orang belia dan 782 personal binaan serta mengakredit seramai 3,100 orang pekerja binaan. Dalam pada masa yang sama, ABM juga telah berkolaborasi dengan pihak Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) dan Unit Strategik Modal Insan Johor (USMIJ) dalam melatih 250 orang anak muda tempatan untuk diserap masuk ke alam pekerjaan di dalam bidang Mechanical Fitter, Gas Pipe Insulation, Scaffolding dan Building Maintenance.
ABM telah bekerjasama dengan beberapa rakan industri yang memberi peluang pekerjaan kepada pelatih ABM. Bagi mengukuhkan kerjasama dengan industri, ABM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Industri yang terdiri daripada wakil-wakil industri iaitu pemaju perumahan, penyelenggaraan bangunan, IBS, minyak & gas dan jentera berat. Ia bertujuan sebagai semak dan imbang berkaitan program yang dijalankan selari dengan kehendak industri.
Selain itu, ABM juga telah melatih dan membimbing seramai 34 orang di dalam Program Usahawan Pembinaan iaitu “Accelerator Programme for Construction Entrepreneurs” (ACE) yang diperkenalkan oleh CIDB bagi tujuan melahirkan kontraktor yang cemerlang dan berkualiti.
ABM juga tidak ketinggalan dalam penggunaan teknologi di dalam konsep Pembinaan 4.0 seperti Building Information Modelling (BIM), Automation, Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) dalam sektor pembinaan. Penggunaan teknologi ini bukan sahaja
meningkatkan kecekapan dan produktiviti, tetapi juga memastikan kualiti dan keselamatan dalam setiap projek pembinaan. Semenjak BIM diperkenalkan oleh CIDB pada tahun 2019, ABM Wilayah Selatan telah melatih sejumlah 470 orang sehingga kini.
ABM adalah pusat penilaian dan latihan di bawah CIDB Malaysia yang memberi peluang kepada golongan belia dan personel binaan menjalani latihan kemahiran dalam industri pembinaan.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.cidb.gov.my / www.akademibinaan.com.my.
Mengenai CIDB Malaysia
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.
-GerbangPost