BWF perlu kaji semula model penganjuran Piala Thomas dan Uber – Kenny

BWF perlu kaji semula model penganjuran Piala Thomas dan Uber – Kenny

KUALA LUMPUR,. Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berpendapat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu menyemak semula model penganjuran saingan Piala Thomas dan Uber.

Beliau berkata perbincangan dalaman perlu dalam kalangan ahli majlis badan dunia itu mengenai hak penganjuran untuk kejohanan berpasukan dunia lelaki dan wanita.

Ditanya sama ada BAM berminat untuk membida bagi saingan Piala Thomas dan Uber 2026, beliau berkata badan induk badminton negara itu tidak berhasrat untuk berbuat demikian pada masa ini, selepas BWF melanjutkan tarikh akhir permohonan untuk menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber sehingga 1 Feb.

“Sebelum saya mengulas sama ada Malaysia patut membida, saya berpendapat BWF mungkin perlu melihat dan mengkaji semula model untuk tuan rumah.

“Saya rasa agak mengecewakan kenapa sehingga kini masih tiada bidaan dan BWF terpaksa melanjutkan tarikh akhir,” kata Kenny yang juga Ahli Majlis BWF kepada pemberita.

Edisi sebelum ini diadakan di Nonthaburi, Thailand pada Mei 2022, manakala edisi seterusnya dijadualkan dari 28 April hingga 5 Mei 2024 di Chengdu, China.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber ialah pada 2010 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Kenny berkata persediaan untuk pembukaan musim 2024 Terbuka Malaysia, yang dijadualkan mulai 9 hingga 14 Jan di Arena Axiata berjalan lancar.

“Jualan tiket memberangsangkan, setakat Jumaat, kebanyakan tiket separuh akhir dan akhir telah dijual,” katanya.

Mengenai pemain luar dibenarkan berlatih bersama-sama pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara sebagai pemanas badan untuk Terbuka Malaysia, Kenny akan membincangkan perkara itu dengan pengarah kejurulatihannya Rexy Mainaky bagi mengelak kesesakan di pusat latihan negara itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)