Agong berkenan lawat Baladna Food Industries di Qatar

Agong berkenan lawat Baladna Food Industries di Qatar

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Baladna Food Industries, di Doha, Qatar, pada Khamis.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 10 pagi waktu tempatan itu disambut Pengarah Urusan Baladna Food Industries Ramez Al Khayyat dan barisan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.

“Sejurus ketibaan, Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan taklimat oleh Ramez Al Khayyat berkenaan pengoperasian syarikat Baladna Food Industries,” menurut catatan itu.

Menurut hantaran berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau sekitar kawasan syarikat itu.
Baladna Food Industries merupakan salah sebuah syarikat pengeluar produk tenusu terbesar di rantau Asia Barat yang berkeluasan 2.6 juta meter persegi dan mempunyai 24,000 ekor lembu tenusu.

Lawatan ke Baladna Food Industries semalam adalah antara aktiviti Al-Sultan Abdullah dalam rangka lawatan khas Seri Paduka Baginda ke Qatar selama enam hari bermula 13 Dis.

Lawatan khas itu adalah atas jemputan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

Seri Paduka Baginda turut dijadual menerima menghadap beberapa pemimpin Kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas itu.

Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat tiba di tanah air pada 19 Dis ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)