KUALA LUMPUR,. Amanah Lestari Alam (ALAM), sebuah platform kelestarian nasional yang menyokong keutamaan alam sekitar dan pembangunan Malaysia, sedang
KUALA LUMPUR,. Amanah Lestari Alam (ALAM), sebuah platform kelestarian nasional yang menyokong keutamaan alam sekitar dan pembangunan Malaysia, sedang menangani jurang berterusan dalam perjalanan kelestarian negara, di mana kesedaran adalah meluas tetapi tindakan konsisten masih terhad.
Menandakan ulang tahun kelima penubuhannya, ALAM berkata ia telah mencapai lebih tiga juta rakyat Malaysia dan mencetuskan lebih RM20 juta dalam inisiatif di seluruh negara.
Di sebalik usaha meningkatkan kesedaran, organisasi itu melaporkan perubahan tingkah laku yang semakin ketara merentas komuniti, rangkaian belia dan institusi, termasuk peningkatan penyertaan dalam usaha pemuliharaan, projek alam sekitar yang diterajui belia, serta pengambilan amalan bertanggungjawab yang lebih meluas dalam kalangan rakan kongsi dan pihak berkepentingan.
Dipacu oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), ALAM beroperasi sebagai organisasi bebas bukan berasaskan keuntungan yang dikecualikan cukai, serta ditadbir secara autonomi Lembaga Pemegang Amanah.
Ia sejajar dengan agenda kelestarian kumpulan yang lebih luas, melengkapkan usaha pembiayaan pembangunan dengan memberi tumpuan kepada perubahan tingkah laku bagi menterjemahkan pelaburan dan dasar kepada hasil yang boleh diukur.
Menurut ALAM, pendekatan ini telah mewujudkan kesan berganda, dengan beberapa organisasi korporat dan filantropi mengguna pakai pendekatan berasaskan komuniti dan dipacu tingkah laku yang serupa dalam kelestarian.
Organisasi itu berkata, perkara ini mencerminkan perubahan lebih luas dalam cara program kelestarian direka dan dilaksanakan di seluruh Malaysia.
Seiring dengan kemajuan tersebut ALAM akan melancarkan ALAM ReSet 2.0 (2026–2035), iaitu pelan hala tuju 10 tahun bagi meningkatkan impak di peringkat nasional di bawah tema ‘Protect the Green, Power the Blue’. Fasa seterusnya memberi penekanan lebih besar kepada pemuliharaan marin, ekonomi biru dan inisiatif kelestarian dipacu komuniti.
Pengasas Bersama merangkap Pengerusi ALAM Datuk Ali Tan Sri Abdul Kadir berkata, agenda kelestarian Malaysia kini memasuki fasa kritikal yang menumpukan kepada pelaksanaan, bukan lagi sekadar kesedaran.
“Malaysia telah mencatat kemajuan kukuh melalui dasar, pembiayaan dan rangka kerja nasional. Cabaran kini ialah pelaksanaan pada skala besar. Kita tidak kekurangan kesedaran. Kita kekurangan tindakan yang konsisten. ALAM wujud untuk merapatkan jurang itu dengan membentuk cara individu dan institusi bertindak balas, menterjemahkan kesedaran kepada perubahan sistem yang berterusan,” katanya.
Sepanjang lima tahun lalu, ALAM telah melaksanakan program pelbagai pihak berkepentingan merentas pelbagai segmen masyarakat. Platform libat urusnya, Suara ALAM, telah memperkukuh wacana kelestarian dan membantu proses membuat keputusan.
Inisiatif berfokuskan belia seperti Youth Environment Living Labs (YELL), yang dijalankan dengan kerjasama United Nations Development Programme Malaysia dan United Nations Children’s Fund Malaysia, telah membolehkan golongan muda mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian iklim, dengan sasaran capaian sehingga lima juta peserta di seluruh negara.
Program komuniti seperti ALAM Be-Leaf telah memperluas penyertaan dalam pemuliharaan biodiversiti, manakala Rumah Baca menyokong pendidikan awal kanak-kanak dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan komuniti Orang Asli, termasuk di kawasan pedalaman seperti Royal Belum.
Usaha ini bertujuan merapatkan jurang akses dan penyertaan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Inisiatif Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) juga terus menyokong penyelidikan, penglibatan dasar dan usaha meningkatkan kesedaran bagi memperkukuh integrasi dalam ekosistem pendidikan negara.
ALAM berkata, pendekatannya direka untuk merapatkan hasrat dasar dengan pelaksanaan di dunia sebenar, dengan memberi tumpuan kepada pembudayaan tingkah laku lestari dalam sistem yang memastikan hasil jangka panjang.
Usaha ini sejajar dengan keutamaan pembangunan Malaysia, termasuk integrasi kelestarian dan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari dalam rangka kerja seperti Pelan Pendidikan Malaysia 2026–2035, Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Organisasi itu turut menyatakan peningkatan penglibatan kementerian dan agensi awam, khususnya dalam bidang yang memerlukan perubahan tingkah laku bagi mencapai objektif dasar.
ALAM ReSet 2.0 juga disokong oleh Bank Negara Malaysia melalui Performance Measurement Framework (PMF), yang memberi keutamaan kepada kelestarian, integrasi ESG dan hasil berimpak dalam kewangan pembangunan.
Melalui penjajaran ini, ALAM menyasarkan untuk mempercepat inisiatif berfokuskan iklim serta memperluas penerapan ESG dalam kalangan perniagaan, komuniti dan institusi.
Pelan hala tuju ini juga akan memperkenalkan model pembiayaan yang lebih mampan, memperkukuh penglibatan digital, serta memperdalam kerjasama dengan pembuat dasar, sektor korporat dan masyarakat sivil.
Melangkah ke hadapan, ALAM merancang untuk memperluas fokus ke arah pemuliharaan marin dan ekonomi biru, di samping mengekalkan tumpuan terhadap pendidikan alam sekitar, penggunaan bertanggungjawab dan tindakan dipacu komuniti.
Ketika Malaysia memperkukuh aspirasi iklimnya, ALAM berkata, perubahan tingkah laku yang konsisten akan menjadi kunci dalam menterjemahkan sasaran negara kepada hasil yang nyata.

