Alliance Bank sedia hadapi kejutan bayaran pasca moratorium – CEO kumpulan

KUALA LUMPUR,. Alliance Bank Malaysia Bhd mengambil langkah berwaspada untuk mempunyai mudah tunai tambahan bagi mengurangkan sebarang kejutan pembayaran selepas berakhirnya moratorium pinjaman pada September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Joel Kornreich berkata ketika ini bank itu mempunyai kedudukan pembiayaan yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai melebihi 150 peratus dan nisbah pinjaman-kepada-pembiayaan sebanyak 80 peratus.

Beliau berkata 18 peratus daripada asas yang layak bernilai RM28.6 bilion memilih untuk tidak menyertai moratorium pinjaman itu kerana berkemampuan meneruskan pembayaran pinjaman mereka dengan faedah tambahan tidak berulang.

“Mengenai pelanggan runcit kami, sudah tentu, pelanggan pembiayaan peribadi dan pinjaman kereta tidak akan dikenakan sebarang faedah tambahan, dan ia turut dipatuhi oleh rakan bank kami yang lain,” katanya kepada pemberita selepas taklimat keputusan suku keempat bank itu bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2020 hari ini.

Kornreich berkata moratorium pinjaman itu akan membawa impak kerugian modifikasi hari pertama yang mencecah hampir RM60 juta dan sebahagian daripada impak itu akan berlaku pada sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021 sehingga kira-kira RM35 juta.

“Kami menjangkakan kesan akhir pada tahun kewangan 2021 adalah kira-kira RM25 juta. Kami berusaha mengurangkan impak kerugian modifikasi ini dengan melibatkan pelanggan, mengubah pinjaman mereka dan menjadualkan semula… dan membantu mereka menguruskan pembayaran balik,” katanya.

Kornreich berkata Alliance Bank turut memperuntukkan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak RM627 juta.

Bank itu turut membuat semakan semula portfolio untuk menilai pendedahan sektoral terhadap COVID-19.

“Kami mengkategorikan pelanggan dari segi persepsi kami mengenai risiko mereka, sama ada sektor yang mereka terlibat atau kerana tingkah laku terdahulu dan jumlah telah dipinjam.

“Malah, kami di pusingan kedua untuk menghubungi pelanggan bagi melihat bagaimana kami boleh membantu mereka menerusi penyelesaian yang tepat dalam krisis ini, khususnya membantu mereka mengubah pinjaman dan meluaskan pembayaran mereka…dan memahami bagaimana mereka mengharungi tempoh ini,” katanya.

Mengenai pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Kornreich berkata pengurangan OPR sebanyak 100 mata asas akan mempunyai impak kepada margin keuntungan bersih bank itu iaitu kira-kira 18 mata asas.

“Sudah tentu, kami berusaha mengurangkan pemotongan OPR dengan menentukan semula akaun semasa, akaun simpanan (CASA) dengan terus meningkatkan hasil produk yang lebih tinggi (dalam sektor hijau) dan kami dibantu oleh langkah-langkah yang diambil Bank Negara Malaysia termasuk kebenaran memenuhi syarat rizab berkanun dengan sekuriti,” katanya.

Sementara itu, Alliance Bank menyasarkan pertumbuhan pinjaman melebihi 2.0 peratus pada tahun kewangan 2021 dengan tumpuan kepada segmen terasnya iaitu PKS dan pengguna.

Alliance Bank merekodkan pinjaman kasar dan pendahuluan yang lebih tinggi sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM43.7 bilion bagi tahun kewangan 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )