
Aminvestment Bank rendahkan jangkaan keuntungan bersih Westports bagi 2020-2022
KUALA LUMPUR, 28 April — AmInvestment Bank telah menurunkan jangkaan keuntungan bersih Westports Holdings Bhd bagi tahun kewangan 2020, 2021 dan 2022, masing-masing sebanyak 16 peratus, 13 peratus dan 12 peratus berikutan prospek perdagangan global yang lemah.
Dalam nota penyelidikan, AmInvestment Bank berkata jangkaan itu mencerminkan bahawa pemulihan ekonomi global dalam bentuk (data) lengkungan V bukan lagi senario mengikut kes sebelum ini akibat impak ketara pandemik COVID-19 yang dapat dilihat sehingga kini.
“Kami menurunkan saranan kepada ‘pegang’ daripada ‘jual. Kini, kami mengunjurkan truput kontena menyusut 15 peratus pada tahun kewangan 2020 (berbanding jangkaan pertumbuhan dua peratus sebelum ini), mengambil isyarat daripada prospek Indeks Pengurus Pembelian (IPP) yang semakin lembap di seluruh dunia dan jangkaan pengurangan 10 peratus bagi jumlah perkapalan kontena global oleh pakar industri perkapalan kontena berpangkalan di Copenhagen, Sea-Intelligence ApS khususnya disebabkan kelembapan perkhidmatan di Asia-Eropah dan trans-Pasifik.
“Bagi tahun kewangan 2021, kami menjangka pertumbuhan truput kontena Westports akan meningkat 10 peratus berbanding lima peratus yang diunjurkan sebelum ini,” katanya.
Menurut persidangan dengan Westports baru-baru ini, syarikat itu terarah kepada penyusutan truput kontena tahun ke tahun pada suku pertama 2020, namun penurunan itu boleh menokok kepada dua digit pada suku kedua dalam senario terburuk berikutan pandemik COVID-19 yang terus melanda rantaian bekalan global serta menjejaskan operasi pelabuhan.
Bagaimanapun, Westports berharap separuh kedua 2020 akan sedikit pulih dengan mengandaikan COVID-19 dapat dibendung dengan ketara pada masa itu.
“Mengenai cadangan pengembangan Westports 2.0, ketika ini tumpuan utama syarikat adalah terarah kepada pelbagai isu operasi akibat pandemik itu.
“Kami faham pada masa ini syarikat meredakan seketika perbincangan dengan kerajaan mengenai terma konsesi dan pembiaya berhubung pendanaan projek,” katanya.
Westports 2.0 melibatkan pembinaan lapan terminal baharu seperti CT10 sehingga CT17 yang akan menggandakan kapasiti kendalian kontena kepada 18 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) berbanding 14 juta TEU pada masa ini.
— BERNAMA