
Angka korban Tauktae di India cecah 20 orang
MAHUVA: Satu siklon gergasi telah melanda India semalam, dengan angin yang sangat kuat dan hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang maut, dan mengganggu program vaksinasi yang sangat diperlukan oleh negara itu bagi mengawal wabak COVID-19 yang semakin berleluasa.
Siklon Tauktae telah melanda beberapa kawasan di negara yang luas itu, menghantar gelombang besar membadai pantainya, menjadikan jalan raya seperti sungai serta memaksa beratus ribu orang melarikan diri.
Sistem putaran angin yang sangat besar ini, paling besar telah melanda wilayah sejak beberapa dekad, meragut nyawa di Kerala, Goa, Maha-rashtra dan Gujarat termasuk angin yang kuat bergerak melalui rumah-rumah usang dan menumbangkan pokok serta tiang elektrik.
Pihak berkuasa Mumbai menutup lapangan terbang dan menggesa orang ramai agar tidak keluar dari rumah, memindahkan kira-kira 600 pesakit COVID-19 dari beberapa hospital lapangan “ke lokasi yang lebih selamat”, sementara paras laut naik setinggi tiga meter berhampiran pekan tepi pantai Diu.
Dua kapal tentera laut telah dikerahkan bagi membantu dalam operasi mencari dan menyelamat sebuah tongkang membawa 273 penumpang yang hanyut di luar pantai Mumbai, dengan 28 orang diselamatkan setakat ini, kata pihak kementerian pertahanan pada lewat kelmarin.
Tauktae telah melanda di Gujarat kelmarin sebagai Ribut Siklon Yang Sangat Teruk membawa tiupan angin selaju 185 kilometer sejam, menurut Jabatan Meteorologi India. Ia telah menurun kepada Ribut Siklon Yang Teruk pada pagi semalam.
Sistem cuaca teruk ini telah mengganggu respon India terhadap satu peningkatan
koronavirus yang membunuh sekurang-kurangnya 4,000 orang setiap hari, dan mendesak sistem kesihatan ke peringkat tidak berdaya.
Kira-kira 200,000 orang telah dipindahkan di Gujarat, di mana semua pesakit Covid-19 di dalam hospital dalam jarak lima kilometer dari pantai telah turut dipindahkan. Pihak berkuasa di sana segera memastikan terdapat tiada pemotongan bekalan elektrik di hampir 400 buah hospital khas Covid dan 41 buah kilang oksigen di kawasan tersebut.
Ketua Menteri Vijay Rupani memberitahu wartawan lebih 1,000 buah hospital Covid di beberapa buah pekan pantai telah disediakan dengan generator. “Selain keperluan harian bagi 1,000 tan oksigen di Gujarat setiap hari, satu tambahan stok sebanyak 1,700 tan telah disediakan dan mungkin digunakan dalam masa kecemasan,” kata Rupani.
Protokol keselamatan virus seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan penggunaan cecair sanitasi akan diawasi di tempat perlindungan untuk penduduk yang dipindahkan, tambah pihak berkuasa lagi.
Negeri tersebut turut menangguhkan pemberian vaksin selama dua hari. Mumbai turut melakukan perkara yang sama selama sehari.
Ribuan orang kakitangan respon bencana telah dikerahkan bagi membantu dengan serangan oleh Tauktae, sementara beberapa unit dari pengawal pantai, tentea laut, darat dan udara telah diarahkan untuk bersedia.
“Siklon ini merupakan satu pukulan berganda yang teruk bagi berjuta-juta orang di India yang mana keluarganya telah berdepan dengan rekod jangkitan Covid dan kematian,” menurut Udaya Regmi dari International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies.
Pertubuhan itu menyatakan ia sedang membantu pihak berkuasa untuk memindahkan penduduk yang berisiko di kawasan pantai, memberikan bantuan kecemasan, pelitup muka dan “menggalakkan langkah penting bagi pencegahan Covid-19.”
Pada Mei lepas, lebih dari 110 orang meninggal dunia selepas “siklon hebat” Amphan membadai timur India dan Bangladesh di Selat Bengal. Lautan Arab sebelum ini telah mengalami beberapa siklon yang kurang kuat berbanding Selat Bengal namun suhu air yang meningkat disebabkan oleh pemanasan global telah mengubah keadaan itu, Roxy Mathew Koll dari Indian Institute of Tropical Meteorology memberitahu AFP.
“Lautan Arab adalah salah satu dari kawasan pemanasan paling pantas di sekitar lautan global,” kata beliau.
– Agensi