Ariffin Nazri, Dania Sofea antara pemain sertai Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 bermula esok

Ariffin Nazri, Dania Sofea antara pemain sertai Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 bermula esok

JOHOR BAHRU,. Ariffin Nazri Mohd Zakaria dan Dania Sofea Zaidi, yang mewakili negara dalam dua kejohanan antarabangsa tahun lepas, adalah antara lebih 600 peserta pada Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 yang membuka tirainya esok.

Dania Sofea yang cemerlang pada Kejohanan Remaja Asia Bangkok 2022, akan mempertahankan kejuaraannya pada edisi lepas untuk kategori bawah 16, manakala Ariffin Nazri, yang menyertai Kejohanan Remaja Dunia Sepanyol tahun lepas, mahu menebus kekalahan dan akan bertanding untuk kategori bawah 21 tahun.

Presiden Persatuan Badminton Johor Mat Rasid Jahlil berkata kejohanan itu yang juga acara pertama bagi kalendar sukan di negeri ini, akan berlangsung sehingga Ahad ini di DBC Sport Arena, Pontian, Johor.

Dengan menampilkan lima kategori iaitu bawah 21, bawah 16, bawah 14, bawah 12 dan juga bawah 10 tahun, beliau menyifatkan kejohanan edisi ke-11 itu penting dalam usaha Johor mencungkil lebih banyak bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut.

“Kita hendak menambah seberapa ramai lagi pemain berbakat dari negeri Johor serta menyediakan platform terbaik untuk mereka beraksi secara kompetitif.

“Kejohanan ini juga menjadi pentas buat kami menilai dan memilih pemain untuk mewakili Johor ke peringkat kebangsaan termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mat Rasid berkata kejohanan itu turut mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Johor, YOUNG-International dan DBC Sport Arena.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)