Arsenal ambil peluang, Arteta dilema
LONDON,. Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata dia masih mahukan yang terbaik untuk bekas majikannya Manchester City, walaupun penggantungan juara Inggeris itu di pentas Eropah membuka ruang buat Gunners layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kemenangan 4-0 ke atas Newcastle melonjak Arsenal ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris, enam mata di belakang Tottenham yang menghuni tangga kelima.
Penggantungan dua musim City oleh UEFA Jumaat lalu membolehkan pasukan di tangga kelima layak ke kejohanan itu, kecuali jika City berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Arteta, yang meninggalkan City untuk tugasan pertamanya sebagai pengendali di Emirates Disember lalu, kini berpeluang mendapat kelebihan di atas penggantungan bekas majikannya itu.
“Ia amat sukar. Saya mahu yang terbaik untuk Manchester City, Pep (Guardiola) dan pemain-pemain. Satu-satunya perkara yang saya mahu buat mereka ialah perkara positif dan baik.
“Untuk Arsenal, saya hanya mahu lakukan yang terbaik.”
Ia adalah kemenangan kedua dalam lapan perlawanan liga sejak Arteta mengambil alih pasukan dan pengendali 37 tahun dari Sepanyol itu mula melihat peningkatan di babak kedua permainan selepas 45 minit pertama yang hambar.
Arteta menurunkan Eddie Nketiah dalam kesebelasan utama buat pertama kali untuk aksi Liga Perdana dan merehatkan Alexandre Lacazette.
Pemain 20 tahun itu terlepas peluang memberikan impak apabila percubaannya terkena palang.
Pierre-Emerick Aubameyang memecah kebuntuan pada minit ke-54 dengan menanduk masuk hantaran Nicolas Pepe.
Pepe kemudian menambah jaringan selepas menerima hantaran Bukayo Saka – bek kiri berusia 18 tahun yang mencipta banyak peluang gol buat Arsenal.
Lacazette masuk menggantikan Nketiah lima minit sebelum tamat dan tempoh itu digunakan sebaiknya untuk mengumpan Mesut Ozil bagi gol ketiga sebelum dia sendiri mengakhiri kemarau jaringan sembilan perlawanannya dengan gol masa kecederaan. – AFP
Berita Berkaitan