
AS sekat visa untuk sebilangan pegawai China
WASHINGTON,. Pentadbiran Presiden Donald Trump semalam mengumumkan langkah menyekat visa Amerika Syarikat (AS) untuk sebilangan pegawai China kerana melanggar autonomi Hong Kong, ketika Kongres mendesak sekatan lebih keras dikenakan.
Setiausaha Negara, Mike Pompeo, berkata AS akan menyekat visa untuk bekas pegawai dan juga mereka yang sedang berkhidmat daripada Parti Komunis China ‘yang bertanggungjawab menghalang kebebasan Hong Kong’.
Pompeo mendakwa, pegawai disasarkan itu ‘bertanggungjawab atau terbabit dalam menyekat autonomi Hong Kong yang dijanjikan Beijing sebelum mengambil balik penguasaan ke atas wilayah terbabit daripada Britain pada 1997.
“AS meminta China menghormati komitmen dan obligasinya dalam Deklarasi Bersama Sino-British,” katanya dalam satu kenyataan sambil menggesa supaya ‘kebebasan bersuara serta berhimpun secara aman’ dilindungi.
Jurucakap Jabatan Negara bagaimanapun enggan mengulas mengenai bilangan individu terbabit atau sama ada kesemua mereka akan dihalang daripada memasuki AS.
“Individu yang tertakluk kepada dasar sekatan visa ini akan dinilai untuk kelayakan apabila mereka memohon dan berkemungkinan ia ditolak,” katanya. – AFP