KUALA LUMPUR,. Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 memperluas pengiktirafan kepada industri kandungan digital tempatan menerusi pengenalan kategori Podca
KUALA LUMPUR,. Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 memperluas pengiktirafan kepada industri kandungan digital tempatan menerusi pengenalan kategori Podcast Terbaik, sejajar dengan perkembangan landskap media masa kini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil berkata peluasan kategori di bawah segmen Media Baharu itu, membuka lebih banyak peluang kepada penggiat podcast tempatan untuk mengetengahkan karya serta bakat mereka di pentas anugerah berprestij negara.
Beliau berkata penganjuran ASA telah melalui tiga fasa perkembangan sejak diperkenalkan sebagai Anugerah RTM pada 1972, sebelum diperluas kepada penyertaan penyiar swasta dan seterusnya berkembang mengikut perubahan landskap media digital, termasuk menerusi penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“ASA ialah satu anugerah berprestij tinggi dan bukanlah berlandaskan populariti, untuk mengiktiraf pekerja industri kreatif di hadapan dan di belakang tabir seperti kru penerbitan, penerbit dan tenaga teknikal.
“Kita sekarang pada era digital, jadi mulai tahun 2022 kita melihat bahawa kita mula menerapkan elemen teknologi seperti AI dan pengenalan kategori baharu seperti podcast terbaik seiring peredaran masa,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV bertajuk Malam Kemuncak ASA 2026, hari ini.
Bagi edisi tahun ini, Bahria berkata sebanyak 60 kategori dipertandingkan, merangkumi 40 kategori televisyen (TV), radio (17) dan media baharu (tiga), dengan keseluruhan 1,601 pencalonan melibatkan 15 syarikat penyiar serta 84 saluran TV dan radio.
“Temanya Segalanya Bermula di Sini, kita ketengahkan konsep pementasan muzikal broadway dan ini bersempena dengan ulang tahun ke-80 Jabatan Penyiaran Malaysia iaitu RTM. Kita gambarkan evolusi bermula dari era radio sehinggalah ke landskap digital masa kini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi sentiasa mengutamakan mutu penganjuran ASA, termasuk memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus, adil dan berwibawa.
Bahria berkata barisan juri terdiri daripada golongan profesional, termasuk ahli akademik dalam bidang industri kreatif serta pemain industri yang berkelayakan, manakala keputusan penjurian turut diaudit oleh juruaudit kerajaan.
Beliau berharap ASA terus menjadi platform mengiktiraf penggiat industri kreatif, sekali gus memacu pengkarya tempatan menghasilkan kandungan berkualiti yang mampu menembusi pasaran antarabangsa, tanpa membelakangkan nilai kebudayaan dan keharmonian negara.
Malam Kemuncak ASA 2026 akan berlangsung pada 24 Okt, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung di TV2 serta platform media sosial RTM.
Majlis Prelude ASA 2026 pula diadakan pada esok bagi mengumumkan pemenang 30 kategori pertama.
— BERNAMA

